Wednesday, 27 June 2018

INSURANS TAKAFUL DIHARUSKAN DALAM ISLAM

Sikap saling membantu dituntut dalam Islam, terutama pesakit kronik. Kos rawatan bagi pesakit mengalami penyakit kronik mencecah sehingga  puluhan dan ratusan ribu ringgit. Jumlah itu tentunya terlalu besar dan tidak mampu disediakan oleh golongan menengah dan lebih-lebih lagi golongan miskin.

Oleh sebab tidak mampu menyediakan wang yang secukupnya, ramai pesakit tidak mendapat rawatan sewajarnya, bahkan terpaksa menanggung penderitaan sehingga menemui ajal. Biarpun kerajaan ada menyediakan kemudahan rawatan kepada rakyat secara percuma, ia tidak meliputi semua rawatan.

Sebenarnya kerajaan telah memperuntukkan belanjawan yang besar untuk menyediakan kemudahan perubatan kepada rakyat. Tetapi kadar itu masih tidak mampu menampung sepenuhnya keperluan rakyat.

Dalam kebanyakan kes, penyakit yang memerlukan kepakaran khusus, pihak swasta lebih ke hadapan. Kepakaran yang disediakan, khidmat sokongan, dan peralatan ternyata lebih berkesan. Oleh hal yang demikian, kos rawatan di hospital swasta lebih tinggi berbanding di hospital kerajaan. Hal ini demikian  kerana pihak swasta mementingkan keuntungan memandangkan mereka telah mengeluarkan banyak modal untuk menjalankan operasi hospital.

Keadaan ini tidak harus dipersalahkan pihak swasta apatah lagi kerajaan. Tetapi perkara yang perlu difikirkan sekarang ialah apakah pendekatan terbaik perlu dilakukan oleh setiap individu untuk mengatasi keadaan ini. Setiap keluarga perlu mencari pendekatan yang terbaik untuk menghadapi kemungkinan mengidap penyakit kritikal. 

Sekarang ini individu yang tidak mampu membiayai kos rawatan diri sendiri atau ahli keluarga, terpaksa mengambil pendekatan menyeru bantuan orang ramai. Mereka memohon simpati masyarakat melalui akhbar dan televisyen agar menghulurkan bantuan kewangan.

Dalam kebanyakan kes, pesakit agak bernasib baik kerana mendapat simpati orang ramai. Jumlah yang diperlukan walaupun berpuluh-puluh ribu ringgit dapat dikumpulkan. Keadaan ini jelas menunjukkan sikap prihatin dan baik hati rakyat.

Sifat ini menepati saranan Allah agar umat Islam saling tolong menolong dalam perkara kebaikan.  Firman Allah bermaksud: “Dan bertolong-tolonglah kamu di atas perkara kebaikan dan takwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan di atas dosa dan penindasan.” - (Surah al-Maidah, ayat 2).

Dalam hal ini sesiapa yang menghulurkan bantuan kepada saudaranya, seolah-olah dia membantu dirinya sendiri. Hal ini demikian  kerana firman Allah yang antara lain bermaksud: “Sesungguhnya orang Islam adalah bersaudara.” - (Surah al-Hujurat, ayat 10).

Sebenarnya Allah menyediakan ganjaran pahala kepada orang yang membantu orang lain ketika berada dalam kesusahan. Allah pasti memberikan mereka kelebihan terutama sewaktu berdepan dengan kesusahan atau halangan di akhirat kelak. 

Bantuan yang dihulurkan oleh seseorang boleh dikelaskan kepada beberapa kategori mengikut keperluan dan niat pemberinya. Sumbangan itu mungkin dalam bentuk zakat yang wajib dikeluarkan apabila cukup haul dan nisabnya. 

Golongan yang memerlukan bantuan itu sudah pasti termasuk dalam orang yang layak menerima zakat. Yang pastinya mereka termasuk dalam kategori orang fakir dan miskin. Mereka amat memerlukan bantuan tersebut untuk rawatan yang menentukan hidup atau mati mereka.

Selain itu, sumbangan golongan juga diniatkan sebagai sedekah bagi mereka yang layak mengeluarkan zakat. Sumbangan yang sedikit tetap dinilai oleh Allah. Begitu juga mereka yang ingin menyumbangkan lebih daripada kadar zakatnya boleh diniatkan sebagai sedekah. Sedangkan sedekah itu boleh diberikan kepada sesiapa yang memerlukan bantuan untuk tujuan kebaikan.

Walau bagaimanapun sekiranya pesakit yang ingin dibantu itu dilihat sebagai orang yang mampu menanggung sendiri, bantuan masih boleh disumbangkan. Kali ini boleh diniatkan sebagai hadiah atau bantuan sesama insan. Mereka tetap dinilai sebagai melakukan kebajikan.

Sebenarnya sesiapa yang memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan bantuan diumpamakan sebagai memberikan pinjaman kepada Allah. Pinjaman itu pasti akan dibayar oleh Allah dengan ganjaran yang berlipat ganda.

Firman Allah bermaksud: “Sesiapa yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), nanti Allah akan melipatgandakan balasannya. Dan (ingatlah) Allah jualah yang menyempitkan dan meluaskan (pemberian rezeki), dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.” - (Surah al-Baqarah, ayat 245).

Selain mengharapkan bantuan dari pihak lain, setiap umat Islam sewajarnya membuat persiapan lebih awal melalui sistem tabungan. Sekarang ini telah diwujudkan sistem insurans atau takaful iaitu bertujuan menyediakan tabung untuk membantu ahlinya yang memerlukan bantuan atau ditimpa musibah.

Mungkin ramai umat Islam di negara ini tidak menyedari bahawa sistem insurans telah diamalkan pada zaman Rasulullah. Setelah berhijrah ke Madinah, Rasulullah memperkenalkan pelbagai konsep bagi memperkuatkan hubungan di kalangan golongan Muhajirin dan Ansar. 

Antara konsep diperkenalkan oleh Rasulullah ialah mewujudkan sistem ‘aqila’. Setiap orang perlu mencarum untuk satu tabung dinamakan ‘al-Kanz’. 

Wang tabung itu akan digunakan apabila berlaku kejadian pembunuhan tidak sengaja yang mana keluarga mangsa akan menerima pampasan. Tabung ini juga digunakan untuk tujuan kebajikan umat Islam apabila berlaku musibah dan menebus tawanan perang. 

Melalui konsep itu, semua umat Islam yang mencarum ke dalam tabung itu, dianggap telah sama-sama membantu saudaranya yang memerlukan bantuan. Di sinilah berlakunya kerjasama tolong menolong sesama manusia. Menyedari keperluan itu, wajarlah umat Islam di negara ini menyertai sistem takaful.

Kini banyak syarikat insurans telah memperkenalkan sistem insurans berlandaskan Islam sepenuhnya, menggantikan amalan insurans konvensional. Jadi, umat Islam boleh memilih mana-mana sistem yang ada di negara ini.

No comments:

Post a Comment