Wednesday 19 February 2020

BUAH LEMBA MEMBERI KESAN RASA MANIS

Pokok lemba (Cucurligo latifolia) merupakan tumbuhan herba dari jenis saka (perennial) dari keluarga Amaryllidaceae. Nama lain pokok lemba ialah lumbah, lembah, lumbah rimba, nyior lembir, nyiur puyuh, lumbah padi, kepala puyuh, pinang puyuh dan beberapa nama lain lagi.

Biasanya pokok lemba tumbuh secara liar dan berumpun di kawasan belukar yang agak redup dan terlindung dari cahaya matahari. Agak sukar untuk menemuinya kerana ia tumbuh tidak di dalam rumpun yang banyak atau dalam satu kelompok di tempat yang sama.

Lemba membiak melalui rizom. Buah lemba tersusun dalam bentuk tandan di pangkal pokok. Buah lemba mempunyai rasa manis apabila matang. 

Rasa manis ini dihasilkan daripada sejenis protein pemanis rendah kalori yang dikenali sebagai curculin dan neoculin. Dua sebatian ini juga dikenali sebagai protein pemanis atau pengubah rasa.

Pengubah rasa bermaksud protein tersebut boleh mengubah rasa makanan yang masam kepada manis. 

Jika makan buah lemba dan kemudian makan buah masam seperti mempelam muda, rasa mempelam itu akan jadi manis. Rasa manis ini boleh bertahan selama 10 hingga 30 minit.

Apa yang dirasa apabila makan buah lemba adalah sama seperti makan buah ajaib ((Synsepalum dulcificum).

Selain buahnya, bahagian lain pokok lemba yand dimanfaatkan masyaakat dahulu ialah daunnya. Daun pokok lemba sesuai dijadikan bahan pembalut untuk mengukus ikan dan membalut makanan.

Pokok lemba sesuai dijadikan tanaman selingan yang produktif bersama tanaman seperti kelapa sawit dan getah. Juga sesuai ditanam sebagai tanaman hiasan di halaman rumah.


No comments:

Post a Comment