Thursday 27 January 2022

EMPANGAN PERGAU GUNA SISTEM TEROWONG

Empangan Pergau terletak di jajahan Jeli, Kelantan. Pembinaan empangan ini mula dicadangkan pada 1960. Sejak itu kajian mengenai keberkesanan terhadap penjanaan kuasa elektrik, alam sekitar, ekosistem dan penduduk sekitar dijalankan.

Kerja-kerja pembinaan dimulakan pada tahun 1994 dan disiapkan pada tahun 2000. Empangan ini memulakan operasi pada tahun 2003 dan dirasmikan pada 2003 oleh Sultan Ismail Petra Sultan Yahya Petra.

Stesen jana kuasa elektrik yang dikendalikan oleh Tenaga Nasional Berhad ini dinamakan Stesen Janaelektrik Sultan Ismail Petra. Namun, dikalangan orang ramai ia lebih dikenali sebagai Stesen Janaelektrik Pergau mengambil nama Empangan Pergau.  

Stesen kuasa ini adalah stesen hidroelektrik, dengan 4 turbin dengan keupayaan 150 MW sebuah berjumlah 600 MW.

Kontrektor utama projek ini ialah Kerjaya Balfour Beatty Cementation. Balfour Beatty ialah sebuah syarikat pembinaan yang berpengkalan di England yang mempunyai pengalaman luas membina empangan hidro di seluruh dunia.

Saiz empangannya sangat kecil dan tidak memerlukan kawasan yang sangat luas tetapi kuasa penjanaannya sangat tinggi kerana stesen hidro ini menggunakan sistem terowong.

Itulah sebabnya kos pembinaan jenis empangan hidro seperti ini sangat mahal berbanding empangan biasa.

Selain itu, dalam dunia tidak banyak kontraktor yang mempunyai kepakaran membinanya.

Luas takungan Empangan Pergau sekitar 4.5 kilomter persegi. Keluasan tersebut amat kecil jika dibandingkan dengan keluasan Empangan Kenyir seluas 3000 kilometer persegi, Empangan Banding atau Empangan Temengor (200 kilometer persegi) dan Empangan Bakun mempunyai keluasan 700 kilometer persegi.

Biarpun keluasan takungan air Empangan Pergau sedikit, jumlah tenaga yang dihasil melalui jana kuasa elektrik adalah paling besar iaitu sebanyak 600 MW, berbanding Stesen Janaelektrik Kenyir 400 MW dan Stesen Janaelektrik Temengor 320 MW.

Penghasilan tenaga elektrik di Pergau tinggi adalah kerana operasinya menggunakan sistem terowong yang memberi tekanan lebih tinggi terhadap turbin yang mampu menghasilkan lebih banyak tenaga.

Air dikeluarkan melalui terowong Stesen Janaelektrik Pergau akan mengalir mengikut Kampung Lawar seterusnya melalui Kampung Gunong atau Batu Melintang, seterusnya ke Kampung Balah menuju ke Dabong.

Di Dabong, aliran air akan memasuki Sungai Galas yang menjadi salah satu cabang sungai yang akan mengalir ke Sungai Kelantan. Air Sungai Galas akan atau bergabung dengan Sungai Lebir berhampiran dengan Kuala Krai. Cantuman Sungai Galas dan Sungai Lebir seterusnya membentuk Sungai Kelantan terus mengalir sehingga ke Laut China Selatan.

Air dari Empangan Pergau yang dilepaskan melalui Stesen Janaelektrik Pergau hanya menyumbang kira-kira 3 peratus kepada aliran Sungai Kelantan. Satu jumlah yang amat sedikit berbanding dengan jumlah air dari tempat lain yang memasuki Sungai Kelantan.

Jumlah 3 peratus itu adalah ketika hari-hari biasa. Dan, tentunya kadar tersebut semakin mengecil ketika musim hujan yang mana jumlah air dari tempat lain bertambah, sedangkan aliran dari Empangan Pergau tetap sama.

Jadi, ada tidak tepat untuk mengatakan bahawa air dari Empangan Pergau menjadi punca kepada kejadian banjir buruk di Kelantan.

Paling tidak lojik dan tidak ada kaitan ialah apabila mengatakan banjir di Rantau Panjang dan kewasan sekitarnya, termasuk di Tumpat berpunca dari pelepasan air dari Empangan Pergau kerana air dari empangan tersebut tidak memasuki atau melalui Sungai Golak yang menjadi punca banjir di kawasan berkenaan apabila air melepasi tebing.

No comments:

Post a Comment