Simpang Pelangai, sebuah pekan kecil di Bentong mendapat
jolokan 'penghujung Pahang' kerana kedudukannya yang bersempadan dengan Negeri
Sembilan di barat Pahang.
Kawasan itu kurang popular khususnya kepada penduduk luar
Pahang kecuali bagi mereka yang menjadikan Simpang Pelangai sebagai jalan
alternatif dari negeri di Selatan tanah air ke Pantai Timur.
Meskipun kedudukannya jauh dari bandar, kawasan berkenaan
berpotensi untuk membangun terutama jika pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah
Utama (LTU) atau dahulunya dikenali Lebuhraya Central Spine Road (CSR),
mengikuti pelan asal iaitu melalui Simpang Pelangai.
Jalan utama sekarang yang melalui Jalan Karak-Kuala Pilah
mengambil masa lama disebabkan berbengkang-bengkok, selain ada laluan tidak
begitu cantik dan ada masanya berdepan risiko banjir kilat di jalan yang
merentasi Sungai Telemong kalau hujan lebat.
Terdapat pelbagai versi tentang asal usul nama Pelangai. Versi
pertama berdasarkan cerita orang lama, nama Pelangai diambil sempena satu
kawasan paya besar dipanggil Paya Pelangai yang terletak antara sempadan
Kampung Bukit Gajah dan Jawi-Jawi. Kawasan paya itu menjadi tumpuan orang kampung
mencari sumber makanan.
Versi kedua pula dikaitkan dengan tempat melangai ikan atau
daging. Kayu disusun dan dihidupkan api itu dipanggil melangai atau sekarang ni
kita panggil salai. Orang melangai di kawasan paya yang terdapat di kampung
tersebut.
Manakala versi ketika pula dikatakan berasal daripada
perkataan pelangi. Ketika penduduk berbincang untuk menamakan tempat atau
kampung mereka, terlihat di pelangi yang disebut "pelangai" dan
kemudian nama itu kekal sebagai nama kampung itu.
No comments:
Post a Comment