Thursday, 29 December 2016

KENAPA AIR LAUT MASIN


Pernah terfikir kenapa air laut masin? Sebenarnya, semua jenis air termasuk air hujan, mengandungi kimia pelarut yang dipanggil garam. Tetapi bukan semua air mempunyai rasa masin. 

Para saintis menganggarkan bahawa laut mengandungi lebih kurang 50 kuadrilion ton bahan-bahan pelarut.

Sekiranya garam di laut boleh dikeluarkan, ia dapat membentuk sebuah permukaan tanah yang besar daripada yang sedia ada. Permukaan garam itu nanti boleh mencapai ketebalan kira-kira 500 kaki dan ketinggian yang sama dengan bangunan yang mempunyai 40 tingkat.

Air laut diklasifikasikan sebagai pepejal larut dalam cecair yang sangat lemah. Kebanyakan garam dalam laut wujud akibat proses pemecahan batu-batu igneus yang disebabkan oleh cuaca dan hakisan. 

Bahan-bahan mineral ini akan dibawa ke laut apabila hujan turun. Terdapat juga garam secara semulajadi di lantai laut akibat proses pereputan. Sumber-sumber lain adalah daripada sisa-sisa letupan gunung berapi.

Sungai Mississipi, Amazon dan Yukon akan mengalir ke Teluk Mexico, lautan Atlantik dan Pasifik yang dipercayai mempunyai tahap kemasinan yang tinggi. Kenapa air laut tidak seperti air sungai? Tahap kemasinan laut adalah disebabkan beberapa pengaruh dan proses.

Pada permulaannya laut tidaklah begitu masin tetapi apabila hujan pertama melanda dunia lebih kurang berjuta-juta tahun dahulu menyebabkan proses pemecahan batu-batan. 

Kemudian batu-batan ini terus diangkut ke sungai dan laut oleh aliran hujan dan menyebabkan tahap kemasinan air laut bertambah.

Sungai yang mengalir dari Amerika Syarikat dipercayai membawa bahan-bahan pelarut sebanyak 225 juta tan ke dalam laut. Kiraan terbaru juga menunjukkan kira-kira enam tan dari Australia dan 120 tan dari Eropah yang mengalirkan bahan pelarut.

Ini bermakna sungai akan membawa empat bilion tan garam pelarut ke dalam laut. Laut juga menerima jumlah garam pelarut yang sama daripada proses-proses semulajadi yang berlaku di dasarnya. Laut mengalami kekurangan bahan-bahan mineral. Tetapi laut akan sentiasa menerima bilangan input dan output secara seimbang.

Para saintis telah menjalankan kajian ke atas air laut lebih berkurun lama dahulu, tetapi masih tidak memahami tentang kandungan bahan kimia yang terkandung dalam laut. Ini kemungkinan daripada kurangnya kaedah yang tepat dan prosedur untuk mengukur juzuk air laut.

Masalah yang dihadapi oleh para saintis ialah saiz laut meliputi lebih 70% permukaan bumi. Manakala kandungan bahan kimia semulajadi air laut juga mempengaruhi juzuk air laut.

Sebanyak 72 elemen kimia telah dijumpai dalam air laut, tetapi dalam bilangan yang kecil sahaja. Elemen-elemen ini bergabung dalam pelbagai bentuk unsur yang mudah larut di lantai lautan. Bahan yang mendap daripada larutan juga mempunyai kaitan dengan perubahan kemasinan laut.

Ahli jurutera marin melaporkan tahap kemasinan dan larutan kimia dalam air laut terdiri daripada klorida, sodium dan magnesium. Tahap kemasinan diukur dengan simbol o/oo. Tahap kemasinan laut akan berubah mengikut peredaran masa dan mengambil masa yang lama. 

Fenomena ini disebabkan oleh faktor-faktor seperti pencairan ais, pengaliran air sungai, proses sejatan, hujan, salji, angin, arus ombak dan perubahan laut apabila berlaku pencampuran garam secara melintang dan menegak.

Laut Merah dan Teluk Parsi mempunyai jumlah kemasinan yang paling tinggi kira-kira 40 o/oo, di mana kadar proses sejatannya amat tinggi. Lautan Atlantik Utara juga mempunyai tahap kemasinan yang agak tinggi kira-kira 37.9 o/oo.

Antara bahagian yang paling masin di Atlantik Utara adalah lautan Sargasso yang terletak di Pulau Canary. Laut Sargasso merupakan kawasan yang mempunyai rumpai laut terapung di permukaan laut dikenali sebagai “sargassum”.

Laut ini mendapat nama sempena rumpai laut terapung itu. Tahap kemasinan laut Sargasso adalah berpunca daripada suhu air terlalu tinggi kira-kira 83F. Suhu tinggi akan menyebabkan kadar proses penyejatan yang tinggi kerana tidak ada aliran air biasa.

Kemasinan paling rendah hanya terdapat di lautan Antartik dan Artik. Lautan Baltik pula mempunyai tahap kemasinan kira-kira 5 hingga 15 o/oo. 

Manakala tahap kemasinan Laut Hitam pula adalah lebih kurang 20 o/oo. Tahap kemasinan perairan Miami, Florida akan berubah daripada 34.8 o/oo pada bulan Oktober dan meningkat ke 36.4 o/oo pada bulan Mei dan Jun.

Kadang-kadang air sungai akan mengalir dan bercampur dengan air laut. Ini ditunjukkan dalam pengumpulan data daripada kajian yang dijalankan di Sungai Columbia. Dengan menggunakan penyurih radioaktif, saintis daripada Universiti Oregon dapat mengesan jumlah aliran air sungai ke laut.

Kawasan perairan laut terbuka bebas daripada pengaruh permukaan tanah. Biasanya jumlah kandungan garam adalah kira-kira 33 o/oo hingga 38 o/oo. Purata tahap kemasinan air laut pula kira-kira 35 o/oo. Purata tahap kemasinan diperoleh pada tahun 1884 oleh William Di Eemar yang menjalankan kajian analisis kimia dengan mengambil 77 sampel air laut di seluruh bahagian dunia.

Hidupan laut juga memainkan peranan penting dalam laut. Laut bukan sahaja agen garam tetapi juga bertindak sebagai pembekal bekalan gas oksigen kepada hidupan laut. Contohnya tiram, kerang, dan kepah mendapat kalsium daripada laut untuk membentuk rangka dan kulit. 


Hidupan laut seperti ketam, udang, udang kara dan tetirip memerlukan sejumlah besar garam galian untuk membina badan. Terumbu karang dibentuk dengan bantuan kalsium karbonat lebih kurang berjuta-juta tahun dahulu. Plankton juga memerlukan kandungan mineral laut untuk hidup dengan subur.

Pada waktu siang dan malam, berjuta-juta tan bahan buangan dan kotoran dibuang dan dilemparkan ke dalam laut. Jika sekiranya air laut itu tidak masin, sudah tentu kotoran itu akan mengeluarkan bau yang amat busuk sehingga dalam beberapa waktu sahaja air laut akan menjadi tersangat busuk. Bagaimanakah keadaan ketika itu? 

Kita tidak mampu menggambarkan apa yang bakal terjadi, hanya Allah-lah Yang Maha Mengetahui. Sekurang-kurangnya tertentu ia akan merosakkan kesihatan penghuni bumi ini.

Terciptanya air yang masin ini akan menjadi bukti betapa Allah SWT melindungi segala kehidupan di permukaan bumi ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan), laut yang tawar lagi segar dan laut yang masin lagi pahit. Dan Dia jadikan di antara kedua-duanya dinding dan batas yang menghalangi." (Al-Furqan : 53)

Laut (air) tawar yang dinyatakan di dalam ayat di atas adalah terdiri daripada sungai, danau, tasik dan sebagainya yang sekalipun berdekatan dengan laut namun ia tetap tidak bercampur dengan air masin.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka terangkanlah kepada-Ku tentang air yang kamu minum. Kamukah yang menurunkannya dari awan ataukah Kami yang menurunkan? Kalau kami kehendaki nescaya Kami jadikannya masin, maka mengapakah kamu tidak bersyukur?" (Al-Waqiah: 68-70)

Rasulullah SAW bersabda tentang laut: "Ianya thohur (suci dan mensucikan) airnya dan halal bangkai (di dalam) nya."  (Hadis riwayat Ahmad, Malik, Ibnu Khuzaimah dan At Tirmidzi - Shahih) 

Allah SWT menjadikan air laut sangat masin hingga terasa pahit, untuk menyempurnakan kemaslahatan kehidupan di muka Bumi, baik manusia mahupun haiwan.  Air laut itu diam tidak mengalir dan banyak haiwannya. Banyak pula yang mati di laut dan tidak perlu dikuburkan.

Sekiranya air laut itu manis (atau tawar) tentu ia akan menjadi busuk kerana kematian berbagai macam haiwan di dalamnya, sehingga akan mengotori udara di seluruh dunia.

Maka telah ada ketetapan hikmah Allah yang menjadikan air laut itu masin. Sekiranya berbagai macam bangkai, yang busuk dan mati di alam ini dilemparkan ke laut, maka tak akan mampu mengubah keadaannya sedikit pun semenjak ia diciptakan sampai kelak Allah menghancurkan alam ini.

Mandi di laut bermanfaat untuk merawat berbagai macam penyakit kulitTapi meminum air laut sangat berbahaya bagi tubuh luar mahupun dalam, kerana ia mengganggu perut, menguruskan dan menimbulkan gatal-gatal serta membuat haus. 

Siapa yang terpaksa harus meminumnya, maka ada beberapa cara yang boleh dilakukan untuk mengurangi kesan negatifnya, di antaranya ialah dengan cara pengeluapan. 

Cara lain ialah dengan menggali lubang yang lebar di tepi pantai atau dekat penampungan air laut di tanah, air laut meresap masuk ke dalam lubang itu, lalu buat lubang kedua agar air meresap masuk ke dalamnya, lalu buatkan lagi lubang ketiga agar air meresap masuk ke dalamnya, hingga air laut itu benar-benar menjadi tawar.  

Air laut mengandungi kira-kira 35,000 ppm (parts per million) garam. Ianya sama dengan 35 gram garam per satu liter air. Manakala air tawar mengandungi 1,000 ppm garam.

No comments:

Post a Comment