Saturday, 21 July 2018

HAK ISTERI MEMBERI PENDAPAT DALAM SOAL RUMAHTANGGA

Isteri mempunyai hak untuk bersuara memberikan pendapat atau meminta apa-apa yang layak baginya sebagai seorang isteri sepertimana ditetapkan oleh syarak. Suami tidak boleh bersifat autokratik atau ingin menggunakan kuasa sepenuhnya.

Rumahtangga diumpamakan seperti sebuah negara yang perlu ditadbir secara musyawarah. Segala perkara berkaitan keluarga dibincangkan dengan seluruh ahli keluarga, terutamanya isteri yang menjadi pembantu.

Sebenarnya amalan bermusyawarah yang dilakukan bukan tanda kelemahan suami, sebaliknya tanda kematangan suami dalam pengurusan keluarga. Isteri akan lebih menghormati suami yang menunjukkan tanda hormat dan mengasihinya.

Sekiranya dalam musyawarah yang diadakan, punca masalah dalam keluarga datangnya daripada suami, maka mestilah suami bersedia mengakui kesalahan itu. Banyak berlaku suami tidak sanggup mengaku kesalahan yang telah dilakukan, sebaliknya menyalahkan isteri sengaja mencari kesalahan itu.

Tidak jatuh maruah suami jika mengaku kesalahan yang telah dilakukan. Itulah jalan sebaik-baiknya untuk mengekalkan kebahagiaan hidup berkeluarga. Mengaku kesalahan bertujuan untuk diambil tindakan memperbetulkannya.

Sekiranya suami masih berkeras tidak mahu mengaku kesalahan secara terang-terang, memadai ia diakui dalam hati. Perkara yang penting ialah tidak mengulangi kesalahan itu, sama ada ia diakui secara terbuka atau hanya di dalam hati.

Sebaliknya, jika nyata kesalahan itu berpunca daripada isteri, suami perlu memainkan peranan sebagai pemimpin. Tindakan yang perlu dilakukan mesti berhemah dan bijaksana. Setiap masalah ada jalan penyelesainanya jika dilakukan dengan niat ingin mencari kebahagiaan. Allah sentiasa bersama-sama dengan hamba-Nya yang sabar dan mengharapkan kebahagiaan hidup.

Langkah pertaman ialah menasihati isteri agar mengubah sikap yang mendatangkan masalah itu. Nasihat tersebut harus diberi dengan tutur kata yang lembut dan berkesan.

Ini penting bagi menjamin isteri tidak merasakan seperti telah dihukum terhadap apa yang dilakukan. Hati perempuan mudah tersentuh dan tidak dapat menerima teguran yang dilakukan dengan suara kuat.

Elok ketika memberi nasihat tidak menyebut berulang-ulang tentang kesalahan yang dilakukan. Sebaliknya, berilah peluang untuk berfikir dan menyedari kesalahan yang telah dilakukan.

Sebaliknya, jika setelah diberi nasihat, isteri masih tidak berubah, bahkan mungkin semakin buruk tindakannya, maka wajarlah tindakan lebih tegas dilakukan. Antara perkara yang dilakukan secara berperingkat-peringkat ialah meninggalkan tempat tidur, kemudian jika masih tidak berhasil, maka pukullah dengan pukulan yang tidak mencederakan.

Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Dan isteri-isteri yang kamu curigai atau bimbing berlaku nusyuznya (derhaka), maka hendaklah kamu (suami) menasihati mereka, dan jika mereka berdegil, tinggalkan mereka di tempat tidur, dan jika masih berdegil juga pukullah mereka (dengan pukulan yang tidak mencederakan) kemudian jika mereka taat kepada kamu maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka dan ingatlah sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.” (Surah an-Nisa, ayat 34).

Kebenaran memukul isteri bukan bermakna Islam membenrkan kekerasan dilakukan dalam rumahtangga. Sebaliknya, kebenaran itu berdasarkan kepada niat untuk memberi satu pengajaran atau menakutkan isteri agar tidak lagi berani melakukan kesalahan yang sebelum ini telah dinasihati oleh suami agar tidak dilakukan.

Untuk mencapai matlamat ini, maka ketika suami ingin memukul isteri, mestilah suami dalam keadaan tenang dan waras. Ini bagi mengelak daripada niat baik ingin mencari pengajaran bertukar menjadi satu bencana apabila pukulan itu dilakukan berlebih-lebihan sehingga menyebabkan kecederaan serius kepada isteri.

Memang agak sukar mencari suasana di mana suami memukul isteri dalam keadaan tenang dan waras. Jika keadaan diri tidak dapat dikawal, eloklah para suami berusaha mengelak mengambil tindakan memukul isteri biarpun dibenarkan oleh Allah kerana takut suami tidak mampu melakukan seperti mana yang dikehendaki-Nya.

Jika mula dilakukan, ditakuti tindakan memukul isteri menjadi satu tabiat dan menjadikan isteri tempat melepaskan geram. Ramai isteri terpaksa menanggung derita akibat sikap panas baram suami, biarpun kesalahan yang dilakukan oleh isteri amat kecil sekali. Malah, ada isteri dipukul tanpa diketahui apa kesalahan yang telah mereka lakukan.

Sesungguhnya Islam amat mementingkan matlamat mengekalkan hubungan suami isteri, maka itu perceraian bukan boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Para suami dinasihatkan agar mengelak diri daripada memikirkan soal talak agar tidak mudah mengambil keputusan ke arah itu.

Selagi boleh dilakukan jalan perdamaian, adalah wajib usaha ke arah itu dilakukan. Hakam atau jururunding dari kedua-dua pihak hendaklah dipilih bagi berbincang mencari jalan penyelesaian.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan jika kamu khuatir ada persengketaan antara keduanya, kirimkan seorang hakam dari keluarga lelaki dan seorang hakam dari keluarga wanita. Jika  kedua-dua hakam itu bermaksud mengadakan perdamaian, nescaya Allah memberi petunjuk kepada suami isteri itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali.” - (Surah an-Nisa, ayat 35).

Jika setelah segala usaha untuk mengekalkan hubungan rumahtangga dilakukan menemui jalan buntu, Islam membenarkan agar talak dijatuhkan. Ia dilakukan sebagai jalan terakhir demi untuk kebaikan kedua-dua belah pihak.

Talak bukan boleh dibuat mudah. Sebab itu ia menjadi perkara terakhir dalam soal rumahtangga. Perkara halal yang mesti dijauhi oleh setiap suami isteri ialah talak.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah ialah talak.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

No comments:

Post a Comment