Thursday, 26 July 2018

TIDAK JATUH MARUAH SUAMI MENGAKU KELEMAHAN

Tidak jatuh maruah suami jika mengaku kesalahan yang telah dilakukan. Itulah jalan sebaik-baiknya untuk mengekalkan kebahagiaan hidup berkeluarga. Mengaku kesalahan bertujuan untuk diambil tindakan memperbetulkannya.

Sekiranya suami masih berkeras tidak mahu mengaku kesalahan secara terang-terang, memadai ia diakui dalam hati. Perkara yang penting ialah tidak mengulangi kesalahan itu, sama ada ia diakui secara terbuka atau hanya di dalam hati.

Sebaliknya, jika nyata kesalahan itu berpunca daripada isteri, suami perlu memainkan peranan sebagai pemimpin. Tindakan yang perlu dilakukan mesti berhemah dan bijaksana. Pilihlah tempat dan masa yang sesuai.

Setiap masalah ada jalan penyelesainanya jika dilakukan dengan niat ingin mencari kebahagiaan. Allah sentiasa bersama-sama dengan hamba-Nya yang sabar dan mengharapkan kebahagiaan hidup.

Langkah pertama ialah menasihati isteri agar mengubah sikap yang mendatangkan masalah itu. Nasihat tersebut harus diberi dengan tutur kata yang lembut dan berkesan.

Ini penting bagi menjamin isteri tidak merasakan seperti telah dihukum terhadap apa yang dilakukan. Hati perempuan mudah tersentuh dan tidak dapat menerima teguran yang dilakukan dengan suara kuat.

Elok ketika memberi nasihat tidak menyebut berulang-ulang tentang kesalahan yang dilakukan. Sebaliknya, berilah peluang untuk berfikir dan menyedari kesalahan yang telah dilakukan.

Sebaliknya, jika setelah diberi nasihat, isteri masih tidak berubah, bahkan mungkin semakin buruk tindakannya, maka wajarlah tindakan lebih tegas dilakukan. 

Antara perkara yang dilakukan secara berperingkat-peringkat ialah meninggalkan tempat tidur, kemudian jika masih tidak berhasil, maka pukullah dengan pukulan yang tidak mencederakan.

Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Dan isteri-isteri yang kamu curigai atau bimbing berlaku nusyuznya (derhaka), maka hendaklah kamu (suami) menasihati mereka, dan jika mereka berdegil, tinggalkan mereka di tempat tidur, dan jika masih berdegil juga pukullah mereka (dengan pukulan yang tidak mencederakan) kemudian jika mereka taat kepada kamu maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka dan ingatlah sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.” (Surah an-Nisa, ayat 34).

Kebenaran memukul isteri bukan bermakna Islam membenarkan kekerasan dilakukan dalam rumah tangga. Sebaliknya, kebenaran itu berdasarkan kepada niat untuk memberi satu pengajaran atau menakutkan isteri agar tidak lagi berani melakukan kesalahan yang sebelum ini telah dinasihati oleh suami agar tidak dilakukan.

Untuk mencapai matlamat ini, maka ketika suami ingin memukul isteri, mestilah suami dalam keadaan tenang dan waras. Ini bagi mengelak daripada niat baik ingin mencari pengajaran bertukar menjadi satu bencana apabila pukulan itu dilakukan berlebih-lebihan sehingga menyebabkan kecederaan serius kepada isteri.

Memang agak sukar mencari suasana di mana suami memukul isteri dalam keadaan tenang dan waras. Jika keadaan diri tidak dapat dikawal, eloklah para suami berusaha mengelak mengambil tindakan memukul isteri biarpun dibenarkan oleh Allah kerana takut suami tidak mampu melakukan seperti mana yang dikehendaki-Nya.

Jika mula dilakukan, ditakuti tindakan memukul isteri menjadi satu tabiat dan menjadikan isteri tempat melepaskan geram. Banyak isteri terpaksa menanggung derita akibat sikap panas baram suami, biarpun kesalahan yang dilakukan oleh isteri amat kecil sekali. Malah, ada isteri dipukul tanpa diketahui apa kesalahan yang telah mereka lakukan.

Sesungguhnya Islam amat mementingkan matlamat mengekalkan hubungan suami isteri, maka itu perceraian bukan boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Para suami dinasihatkan agar mengelak diri daripada memikirkan soal talak agar tidak mudah mengambil keputusan ke arah itu.

Talak bukan boleh dibuat mudah. Sebab itu ia menjadi perkara terakhir dalam soal rumah tangga. Perkara halal yang mesti dijauhi oleh setiap suami isteri ialah talak.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah ialah talak.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

No comments:

Post a Comment