Thursday, 26 July 2018

ATASI KRISIS RUMAH TANGGA DENGAN BIJAK

Asas kebahagiaan rumah tangga bermula ketika proses memilih pasangan. Islam menganjurkan agar memilih pasangan salih dan mempunyai peribadi yang mulia agar pembentukan rumah tangga bahagia dapat dinikmati sehingga ke akhir hayat. 

Sikap memilih pasangan berdasarkan kepada kecantikan, harta, keturunan dan pangkat, tanpa melihat kepada agama dan akhlaknya merupakan punca kegagalan hidup berkeluarga.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan apabila engkau melihatnya, mematuhi perintah engkau, mematuhi janji dan menjaga maruah dan harta ketika ketiadaan engkau.” (Hadis riwayat Nasai).

Malang sekali, muda mudi sekarang lebih menurut kata hati dan nafsu dalam soal memilih pasangan hidup. Mereka hanya menyedari pasangan yang dipilih itu tidak serasi dan banyak menimbulkan masalah setelah hidup bersama sebagai pasangan suami isteri.

Sesudah mendirikan rumah tangga, tiada pilihan lagi bagi suami maupun isteri, melainkan meneruskan kehidupan berkeluarga, biarpun disedari telah tersalah membuat pilihan pasangan. 

Kesilapan dan kekurangan boleh diperbaiki jika suami bijak mengendalikan masalah yang timbul. Suami perlu meletakkan perjalanan hidup berumah tangga pada landasan yang ditetapkan agama.  Justeru, dalam hal ini amat penting suami mempunyai pengetahuan agama yang mendalam. 

Sikap suami sengaja menyalahkan isteri jika kehidupan keluarga tidak bahagia perlu diperbetulkan. Serentak dengan itu suami mulalah pula hendak berpoligami sebagai jalan mencari kebahagiaan dengan isteri lain.

Sikap tersebut mendedahkan kelemahan suami sendiri sebagai pemimpin rumah tangga. Kegagalan rumah tangga banyak bergantung kepada kelemahan suami, biarpun persengketaan bermula daripada sikap isteri. 

Suami mempunyai tanggungjawab yang lebih berat dalam memastikan kerukunan rumah tangga berterusan.    

Biasanya isteri tidak sempat bertindak keterlaluan jika suami berjaya meredakan apa jua masalah yang timbul. Suami perlu berkorban apa saja demi untuk memastikan masalah yang timbul dapat diatasi segera.

Bagaimanapun, pengorbanan dan sikap tolak ansur suami tidak seharusnya ke tahap dipandang dayus sehingga sanggup mengikut telunjuk isteri. Apa yang salah perlu diperbetulkan dengan berhemah.

Dalam banyak situasi, keegoan suami sering menyebabkan isteri memendam rasa tidak merasakan dirinya juga berhak bersuara. Teguran dan suara isteri tidak diendahkan oleh suami yang merasakan sebagai ketua keluarga berhak melakukan apa saja yang diingini. 

Sikap terlalu banyak bersabar dan memandam rasa akhirnya menimbulkan konflik dalam jiwa isteri. Keadaan ini boleh menyebabkan isteri memberontak dan membawa kepada keadaan tidak boleh dikawal lagi. 

Sebab itu ada isteri yang menduakan suami. Mereka menjalin hubungan dengan lelaki lain yang dapat mendengar rintihan hati atau sesuatu yang tidak diperdulikan oleh suami. Lebih parah, hubungan itu melarat kepada zina.

Isteri sebenarnya mempunyai hak untuk bersuara memberikan pendapat atau meminta apa-apa yang layak baginya sebagai seorang isteri sepertimana ditetapkan oleh syarak. Suami tidak boleh bersifat autokratik atau ingin menggunakan kuasa sepenuhnya.

Banyak isteri mengetepikan hak apabila dikuasai rasa cinta dan pengorbanan yang membabi buta. Ini memberi peluang suami mengeksplotsi dari isteri untuk kepentingan diri sendiri. 

Memandangkan sekarang ini banyak isteri mempunyai kerjaya yang baik, bahkan lebih baik berbanding suami, suami yang tidak bertanggungjawab menyerahkan tugas menyara keluarga ke bahu isteri. 

Malah, ada suami bertindak memeras wang isteri untuk kegunaan mendatangkan mudarat seperti berjudi, menagih dadah dan melanggan pelacur. Jika isteri enggan menyerahkan wang, padah buruk akan menimpa diri. Suami seperti ini lebih layak dipanggil perompak. 

No comments:

Post a Comment