Islam melebihkan suami pada
kedudukan bukan bermakna berkuasa melakukan apa saja mengikut sesuka hatinya.
Sebaliknya kedudukan suami yang diangkat oleh Allah di atas satu ‘perjanjian’
bahawa suami perlu menjalankan amanah dan tanggungjawab menjaga keselamatan
memberi nafkah dan membimbing ke jalan diredai.
Firman Allah dalam surah at-Tahrim,
ayat 6 bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan
keluargamu dari api neraka.”
Sebagai pemimpin suami akan ditanya
di akhirat nanti atas apa telah dilakukan berkaitan tugasnya memimpin orang di
bawah pimpinannya.
Suami perlu sentiasa menjadi contoh
terbaik kepada isteri dan ahli keluarga dalam menjalankan ibadah kepada Allah.
Malah menjadi tanggungjawab suami membimbing isteri dan anak-anak dalam
soal-soal ibadat.
Firman Allah bermaksud: “Dan
perintahlah keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu mengerjakannya.” -
(Surah Thaha, ayat 132).
Seterusnya Allah berfirman dalam
surah Marim ayat 55 bermaksud: “Dan dia menyuruh ahlinya untuk bersembahyang
dan menunaikan zakat dan dia adalah seseorang yang diredai di sisi Tuhannya.”
Asas kepada mendidik melakukan
perbuatan baik ialah wujudnya amalan tersebut dalam kehidupan keluarga. Suami
mesti menunjukkan perasaan kasih sayang dan menyuburkan perasaan ceria dan
gembira dalam keluarga.
Rasulullah memberi contoh bagaimana
menjadi seorang suami yang baik. Rasulullah sering menolong isterinya melakukan
kerja-kerja di rumah yang mana baginda dapat melakukan sendiri seperti menjahit
baju yang koyak, memasak, membersihkan laman dan kerja-kerja lain.
Sifat ringan tangan suami membantu
isteri melakukan kerja rumah bukan semata-mata meringankan tugas isteri, tetapi
menimbulkan rasa hormat isteri. Isteri
merasakan dirinya lebih disayangi dan dihormati. Amalan melakukan kerja rumah
secara bersama dapat membentuk kerjasama, persefahaman, keceriaan dan
menghargai apa yang dilakukan bersama-sama.
Suami yang sama-sama membersihkan
rumah sudah tentu tidak akan melakukan perbuatan yang menyebabkan keadaan
menjadi kotor seperti kebanyakan suami yang secara ‘sengaja’ mengotorkan
kawasan rumah dengan habuk rokok dan puting rokok yang dibuang
merata-rata.
Melakukan kebaikan kepada isteri
merupakan sebahagian tanda Muslim sejati. Suami yang baik sedar bahawa dirinya
menanggung satu amanah yang besar dalam soal menjaga kepentingan isteri.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Orang
yang paling baik antara kamu ialah orang yang paling berlaku baik terhadap
isterinya dan akulah orang yang paling baik terhadap isteri daripada kamu.” -
(Hadis riwayat Tarmizi).
Sikap baik Rasulullah terhadap
isteri diakui oleh isteri baginda Siti Aisyah. Diriwayatkan oleh Bukhari bahawa
Aisyah pernah berkata: “Rasulullah tidak pernah sekali-kali memukul isterinya
dan pembantunya.”
Sikap baik sebenarnya bukan terhad
kepada isteri saja. Semua orang berhak dilayan dengan baik, terutama ahli
keluarga dan sesiapa yang diamanahkan kepada kita menjaganya. Orang gaji dan
sesiapa yang tinggal bersama-sama kita perlu dilayan dengan sebaik-baiknya.
Menjaga dan berbuat baik terhadap
isteri juga dilakukan dengan cara menyediakan apa yang suami mampu untuk
dirinya, maka itulah juga seharusnya untuk isteri. Adalah menjadi hak isteri
mendapat apa-apa pemberian yang mampu disediakan oleh suaminya.
Sabda Rasulullah bermaksud:
“Tanggungjawab suami terhadap isterinya ialah apabila kamu makan, hendaklah
kamu beri makanan untuk isterimu. Apabila kamu memakai pakaian, kamu berikan
pakaian untuk isterimu. Jangan kamu pukul isterimu di bahagian muka. Jangan
kamu keluarkan perkataan-perkataan yang jahat di hadapannya iaitu perkataan
yang menyakiti hati dan yang dibenci. Jangan kami tinggalkan isterimu seorang
diri kecuali di dalam rumah.” - (Hadis riwayat Abu Daud).
Mengelak daripada mengatakan perkara
buruk terhadap isteri juga merupakan sebahagian daripada sikap baik yang perlu
diamalkan oleh suami. Didapati ramai suami yang sering dan gemar mengeluarkan
perkataan tidak enak terhadap isteri disebabkan sesuatu perkara yang tidak
disenangi.
Perkataan buruk yang dikeluarkan
terhadap isteri juga satu penderaan, iaitu penderaan mental. Isteri yang selalu
diherdik, dihina dan dimarahi akan merasa tertekan dan mudah timbul perasaan
takut untuk berdamping dengan suami.
Sesiapa yang mengamalkan sikap
bengis dan suka menakut-nakutkan isteri dengan perkataan kasar akan terlepas
daripada rahmat Allah dan menanggung kerugian di dunia dan akhirat.
Hadis riwayat Tarmizi bermaksud:
“Mukmin yang paling sempurna imannya ialah mukmin yang paling baik akhlaknya
dan paling lemah lembut terhadap isterinya.”
Bagaimanapun, sikap suami yang baik selalu pula diambil
kesempatan oleh isteri dengan menjadi ‘queen control’. Kesediaan suami membantu
isteri melakukan kerja-kerja rumah menyebabkan ada isteri yang duduk goyang
kaki.
No comments:
Post a Comment