Thursday, 26 July 2018

BERBUAT BAIK TERHADAP ISTERI

Kehidupan suami isteri penuh dengan cabaran dan halangan yang mungkin mengundang berlakunya hubungan tidak baik suami isteri. Perkara ini sukar dielakkan disebabkan dalam konteks hubungan mana-mana pihak sekalipun soal berlakunya ‘masalah’ hubungan akan berlaku.

Islam memberi garis panduan yang berguna untuk menjamin kesejahteraan hidup berkeluarga agar terhindar berlakunya perkara-perkara buruk dalam hubungan suami isteri dan keluarga. Rasulullah adalah contoh suami dan ketua keluarga yang terbaik.

Matlamat untuk kehidupan suami isteri ialah mencapai kebahagiaan dan menikmati kurniaan Allah. Allah mencipta manusia secara berpasangan yang berlainan jenis dengan tujuan mewujudkan hubungan perasaan kasih sayang dan saling bertanggungjawab di atas peranan masing-masing.

Firman Allah bermaksud: “Dan antara tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan dijadikan antara kamu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda bagi kaum yang berfikir.” - (Surah ar-Rum, ayat 21).

Kehadiran perempuan dalam kehidupan lelaki merupakan satu anugerah yang perlu dijaga dan diuruskan dengan sebaik-baiknya. Kehidupan lelaki tidak bermakna tanpa kehadiran insan bernama perempuan.

Pada mulanya Allah mencipta Adam tanpa pasangan untuk setiap tempoh yang agak lama. Kala ketika itu, kehidupan Adam dilalui dengan rasa kesunyian dan kosong. Maka, Allah menciptakan Hawa untuk dijadikan pasangan kepada Adam dan seterusnya melahirkan zuriat adanya lelaki dan perempuan yang memenuhi keperluan hidup manusia inginkan pasangan.

Sesuai dengan kejadian manusia yang dikurniakan akal fikiran dan perasaan kemanusiaan yang membezakan dengan alam haiwan, kehidupan manusia dalam konsep berpasangan dijalankan dalam ikatan perkahwinan.

Dalam institusi perkahwinan, lelaki dijadikan sebagai ketua keluarga sesuai dengan fitrah kejadian lelaki yang lebih gagah dan beberapa kelebihan lain berbanding perempuan.

Penugasan lelaki sebagai ketua kepada perempuan ditegaskan Allah melalui firman-Nya dalam surah an-Nisa ayat 34 bermaksud: “Lelaki adalah pemimpin bagi perempuan oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana lelaki telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.”

Ajaran Islam mensyaratkan agar lelaki sentiasa menjadi pelindung dan berbuat baik terhadap perempuan. Sebagai pemimpin, lelaki dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan, kebajikan dan menyediakan keperluan hidup untuk isteri dan anak-anak.

Sekarang ini kes pengabaian dan penderaan terhadap isteri semakin meningkat. Perkara ini wujud antara lainnya berpunca daripada kejahilan memahami kehendak agama. Banyak pasangan mengikat tali perkahwinan bukan kerana tuntutan agama, sebaliknya semata-mata memenuhi tuntutan nafsu.

Ketika mula-mula menjadi suami isteri semua perkara indah dan menyenangkan. Sebaliknya, selepas melalui tempoh yang mana perasaan sayang telah bertukar menjadi benci, menyebabkan hidup suami isteri telah diumpamakan sebagai penjara dipenuhi penderitaan yang sukar untuk melarikan diri.

Islam melarang sama sekali dilakukan sebarang kekerasan dalam rumahtangga. Biarpun ayat 34 surah an-Nisa membenarkan suami memukul isteri, ia tidak boleh dikategorikan sebagai kebenaran menggunakan penderaan atau kekerasaan terhadap isteri.

Ayat 34 surah an-Nisa bermaksud: “Dan kepada mereka yang kamu khuatir akan kedurhakaannya, berikan nasihat dahulu, kemudian tinggalkan tempat tidurnya dan hendaklah kamu pukul.”

Keizinan memukul isteri itu jelas dalam konteks memberi pengajaran setelah cara nasihat dan memulau tidak berkesan untuk memperbaiki kesalahan isteri. Malah, pukulan itu sebenarnya hanya dalam tahap tidak mencederakan fizikal yang sekadar menunjukkan ketegasan suami agar isteri tidak lagi berani melakukan perkara tidak diingini.

Rasulullah memberi ingatan dengan sabda bermaksud: “Mengapa ada lelaki di kalangan kamu yang suka memukul isterinya seperti memukul seorang hamba, padahal dia akan menyetubuhi isterinya itu pada hari yang lain.” - (Hadis riwayat Ahmad).

Sifat suami memukul isteri lebih kepada menujukkan sifat haiwan yang menunjukkan kekuasaan. Disebabkan merasakan dirinya lebih kuat dan lebih berkuasa, suami bertindak sewenang-wenangnya terhadap isteri.

Sekarang ini dalam kebanyakan kes suami melakukan penderaan terhadap isteri bukannya berpunca sikap isteri yang ingkar perintah suami sepertimana kebenaran memukul isteri seperti maksud 34 surah an-Nisa itu.

Isteri didera disebabkan cuba menegur atau memperbaiki sikap suami yang tidak bertanggungjawab. Malah didapati terdapat suami melakukan kekerasan terhadap isteri disebabkan isteri tidak mahu menyerahkan wang yang diminta.

No comments:

Post a Comment