Thursday, 26 July 2018

KEWAJIPAN SUAMI TERHADAP ISTERI

Kebahagiaan hidup keluarga bergantung kepada bagaimana suami memainkan peranan. Inilah cabaran paling besar bagi sesiapa bergelar suami. 

Antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh suami terhadap isteri supaya keharmonian rumahtangga berterusan ialah menjaga adab bergaul, jangan menyakiti isteri, elak perasaan cemburu keterlaluan, berlaku adil dalam memberi nafkah, mendidik isteri tentang hukum agama, bijaksana, dan bersabar berdepan kerenah isteri.

Dalam soal pergaulan, suami hendaklah menunjukkan akhlak dan sikap yang baik kepada isteri. Hak isteri terhadap suami ialah mendapat layanan yang baik. Perlu diingatkan bahawa isteri bukan hamba atau orang suruhan suami.

Suami perlu melayan isteri dengan cara yang baik dan ditegah daripada mudah buruk sangka terhadap isteri. Apa yang difikirkan buruk itu mungkin ada kebaikan di sebaliknya.  

Firman Allah bermaksud: “Bergaullah mereka (isteri-isteri) itu dengan cara yang baik (maaruf). Jika kamu benci kepada mereka, mudah-mudahan sesuatu yang kamu benci itu dijadikan Allah padanya kebaikan yang banyak.” (Surah an-Nisa, ayat 19).

Semasa Rasulullah mengerjakan ibadat haji yang terakhir (Hajjatul Wida) sebelum baginda wafat, antara lain baginda menyentuh dalam ucapannya mengenai kehidupan suami isteri. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Wahai umatku!  Kamu mempunyai hak-hak dan kewajipan-kewajipan yang tertentu kepada isteri-isteri kamu demikian pula isteri-isteri kamu, mereka adalah amanah Allah kepada kamu.  Maka hendaklah kamu menjaganya dengan cara yang baik.”  (Hadis riwayat Muslim).

Suami hendaklah menjauhkan perkara-perkara yang boleh menyinggung perasaan isteri, baik dalam sikap dan perbuatan maupun dalam percakapan atau apa-apa cara sekalipun. 

Dalam sebuah hadis lain Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah orang-orang yang paling baik akhlaknya dan orang-orang yang paling lemah lembut kepada isterinya.” (Hadis riwayat Tirmizi). 

Biarpun ada ayat al-Quran menjelaskan mengenai kebenaran suami memukul isteri, tindakan itu bertujuan menyedarkan tentang kesalahan yang telah dilakukan dengan pukulan yang amat ringan. Itupun, kebenaran itu hanya setelah isteri masih berdegil mengulangi perbuatan salah, sedangkan telah ditegur dan dinasihati berulang-ulang kali.   

Suami dituntut agar menyimpan perasaan cemburu terhadap isteri. Suami yang mempunyai perasaan cemburu bersikap waspada terhadap gerak geri isterinya.  Suami yang tidak menyimpan perasaan cemburu tergolong sebagai dayus.

  Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Kecemburuan itu termasuk sebahagian daripada iman, midzak (membenarkan lelaki lain ke dalam rumah dan kemudian dibiarkan bersama isterinya) itu termasuk sifat munafik.”  (Hadis riwayat Bazar dan Baihaqi).

Perlunya ada perasaan cemburu bertujuan mengingatkan suami agar tidak terlalu memberi kebebasan kepada isteri dalam soal pergaulan, terutama dengan lelaki bukan mahram. Dengan cara itu dapat mengelak isteri terlanjur melakukan sesuatu perbuatan kemungkaran. 

Tetapi, cemburu suami perlu berpada-pada. Sebagai insan, isteri juga perlu kepada hubungan komunikasi dengan orang lain, terutama dengan ibu bapa, saudara mara, sesama perempuan dan orang lain yang ada keperluan mengikut batasan ditetapkan agama.

Suami perlu adil dalam memberi nafkah ialah memberi apa yang sepatutnya mengikut kemampuan dan keperluan. Adalah menjadi tanggungjawab suami menyediakan nafkah kepada isterinya secara sukarela dan berhemah. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tanggungjawab suami terhadap isterinya ialah apabila kamu makan, hendaklah kamu beri makan untuk isterimu. Apabila kamu memakai pakaian, kamu berikan pakaian untuk isterimu” (Hadis riwayat Abu Daud).

Satu tanggungjawab yang sering dilupai suami terhadap isteri ialah mendidik dan mengajar isteri tentang hukum agama. Tanggungjawab ini bertambah berat jika isteri jahil dalam soal agama.   

Perkara yang paling penting dipastikan agar isteri mengetahuinya ialah tentang pengetahuan yang wajib (fardu ain) seperti sembahyang, serta hal yang berkaitan secara langsung dengan perempuan seperti tentang haid, nifas, mandi wajib dan batasan pergaulan. 

Sekiranya suami juga tidak mengetahuinya, maka suami terlebih dahulu perlu belajar dan kemudian mengajarkannya kepada isteri. Jika suami tidak berdaya mempelajarinya, maka suami perlu mencarikan guru atau tempat yang membolehkan isterinya belajar.

Jika timbul perasaan tidak senang hati dengan kerenah isteri, hendaklah suami menegurnya dengan bijaksana. Suami hendaklah menjelaskan apa yang diingini dan apa yang tidak disukai agar isteri dapat menurutinya.

Sekiranya isteri tidak mahu mematuhinya, maka suami patut bertolak ansur dengan kehendak isteri, jika ia tidak melibatkan perbuatan yang dilarang oleh agama. Suami tidak boleh terlalu mengikut perasaan atas alasan menjadi haknya menentukan apa yang diingini.  

Menurut Imam Ghazali, sifat sabar dengan kerenah isteri adalah sebahagian daripada lambang akhlak baik suami. Suami yang berakhlak baik bukan sekadar tidak menyakiti fizikal isteri atau mengguris perasaannya, malah bersabar dengan kerenah isteri. 

Dalam keadaan di mana timbul perselisihan faham, suami hendaklah lebih bersabar dan bijak mengawal keadaan. Membetulkan sikap isteri tidak boleh dilakukan dengan kekerasan. Ketegasan keterlaluan mungkin boleh menyebabkan keadaan lebih buruk.

No comments:

Post a Comment