Thursday, 26 July 2018

KAHWIN, CERAI GAYA HIDUP MASA KINI

Islam amat menggalakkan perkahwinan yang menyempurnakan keperluan tabie manusia yang memerlukan pasangan hidup. Manakala perceraian pula satu perkara halal yang paling dibenci. Perceraian berpunca kegagalan suami isteri melayari kehidupan berumahtangga seperti mana diharapkan.

Bilangan kes perceraian melibatkan pasangan Islam di Malaysia berada pada tahap 10 hingga 15 peratus. Peratusan tersebut dianggap tinggi, biarpun masih terkawal. Pun, timbul persoalan adalah kahwin, dan cerai sudah menjadi gaya hidup masakini?  

Antara punca perceraian di kalangan pasangan Islam di negara kita ialah gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai suami atau isteri, pegangan agama yang rendah, campurtangan keluarga atau pihak ketiga, berbeza budaya, masalah seksual dan kerjaya.

Suatu dahulu, pasangan yang bercerai menanggung malu. Perasaan itu turut ditanggung ahli keluarga yang lain. Hal ini disebabkan satu tanggapan bahawa pasangan yang bercerai berpunca sesuatu sikap yang tidak baik seperti suami atau isteri curang, mengamalkan sikap tidak baik, masalah tenaga batin dan sebagainya.

Malah, perceraian dianggap sesauatu yang 'salah' dalam masyarakat. Sebab itu, pasangan suami isteri akan cuba sedaya mungkin mengelak daripada berlaku perceraian. Masalah dalam rumahtangga cuba diselesaikan secara bertolak ansur dan bijaksana. Keluarga akan campur tangar mendamaikan pasangan bermasalah agar tidak berakhir dengan perceraian.

Status duda dan janda bukan suatu yang baik pada pandangan masyarakat. Pandangan ini berdasarkan kepada bahawa perceraian berpunca sesuatu yang tidak baik mengenai duda atau janda itu. 

Keluarga yang perihatin tidak mudah menerima bakal ahli keluarga baru dari kalangan duda atau janda. Mereka akan menyelidik apakah punca perceraian yang lalu. Adakah perceraian lalu berpunca daripada sikap bakal menantunya itu. Ini bagi mengelak perkara yang sama berlaku dalam perkahwinan baru nanti. 

Dengan kata lain, duda atau janda dipandang rendah bukan kerana status, tetapi sebab di sebalik mengapa status itu diperoleh. Suami tidak mungkin menceraikan isteri yang baik. Atau, suami yang baik tidak mungkin menceraikan isteri tanpa alasan yang munasabah.

Atas alasan itulah mengapa duda, lebih-lebih lagi janda sentiasa dipandang serong. Keluarga akan cuba menghalang anak teruna mengahwini janda. Pengalaman buruk janda itu tidak mahu berulang pula pada anak teruna yang belum penah mengalami pengalaman hidup berumahtangga.

Manakala duda pula akan disiasat lebih teliti terlebih dahulu sebelum dibenarkan berkahwin dengan anak dara. Manalah tahu punca perceraian dahulu disebabkan sikap tidak baik duda itu. Sikap itu akan berulang pula bila berkahwin baru dan isterinya bakal menanggung nasib yang sama.

Senario itu berlaku pada suatu masa dahulu. Tetapi, nampaknya kes kahwin dan cerai seperti sudah seperti satu budaya dalam masyarakat kini. Pasangan yang bercerai tidak lagi menanggung perasaan malu. 

Kalau diperhatikan punca kes perceraian, banyak yang disebabkan perkara remeh, dan bahkan melucukan. Bayangkan soal sidai tuala mandi pun boleh jadi punca perceraian. Disebabkan dua biji mempelam muda juga ada yang menyebabkan perceraian pasangan yang telah berpuluh-puluh tahun berkahwin.

Sikap ego pasangan dikenal pasti mengapa mudah berlaku perceraian dalam masyarakat sekarang. Jika ada masalah dalam rumahtangga, masing-masing tidak 'takut' untuk bercerai. 

Si suami merasakan dia tidak menghadapi masalah untuk mencari pasangan baru. Mereka boleh mendapatkan isteri baru di kalangan anak dara yang lebih baik. Begitu juga dengan si isteri yang mengambil pendekatan tidak kisah jika selepas itu dia tidak bertemu jodoh lagi. 

Bahkan ramai berpegang kepada prinsip perceraian bukan penamat kehidupan. Malah ada yang lebih optimis mengatakan perceraian adalah permulaan untuk berubah mencapai yang lebih baik. Memang pemikiran itu amat libral dan keterlaluan bagi budaya masyarakat kita.

Kisah cerai ini turut mewarnai dunia selebriti terkenal negara. Satu demi satu pasangan terkenal bercerai atau dalam proses perceraian. Kisah percintaan dan perkahwinan mereka masih hangat diperkatakan, tiba-tiba timbul pula cerita keretakan rumahtangga. 

Sekarang ini ramai wanita yang mempunyai kerjaya yang baik. Mereka tidak lagi bergantung kepada lelaki untuk menyara hidup selepas perceraian. Bahkan, banyak hak penjagaan anak diberikan kepada si isteri yang mampu menyara sepenuhnya perbelanjaan, kalaupun tanpa bantuan daripada bekas suami. 

Golongan yang memperjuangan kepentingan wanita pula seakan berjuang mempermudahkan soal perceraian. Kalau boleh, setiap permohonan cerai yang dikemukakan oleh si isteri perlu diluluskan segera. 

Banyak forum dan seminar yang membincangkan mengenai keadilan bagi si isteri merumuskan agar proses permohonan cerai dipermudahkan. Mahkamah Syariah dikatakan gagal melaksanakan tugas jika melambat-lambatkan proses perceraian. Mereka bukannya berjuang untuk mempertahankan isteri daripada dijatuhkan talak.

Mereka seakan berbangga berstatus Ibu Tunggal. Sekarang ini masyarakat jarang menggunakan perkataan janda bagi wanita yang bercerai hidup atau balu bagi bercerai mati. Lainlah jika mereka bercerai tanpa mempunyai anak. 

Biasanya masyarakat mudah simpati dengan gelaran ibu tunggal. Terdapat Persatuan Ibu Tunggal peringkat kebangsaan, negari, daerah dan kampung. Aktiviti persatuan mendapat sokongan masyarakat setempat, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan kerajaan sendiri. Ada ruangan khas dalam majalah atau akhbar yang memfokoskan mengenai Ibu Tunggal yang berjaya.

Memang benar ramai ibu tunggal berjaya meneruskan hidup dengan sempurna bersama anak-anak. Malah ada yang menikmati kehidupan lebih berjaya selepas bergelar Ibu Tunggal. 

Ibu Tunggal biasanya berusaha lebih gigih dan menggunakan sepenuhnya peluang bebas kongkongan daripada suami untuk berjaya. Mereka ingin memastikan nasib anak-anak tidak terabai. Malah ramai yang ingin membuktikan kepada bekas suami bahawa mereka boleh berdikari dan kebahagiaan hidup bukan bergantung kepada lelaki.

Tetapi, apakah matlamat perkahwinan 'mesti' berakhir dengan perceraian. Jika perkahwinan diraikan sebagai hari paling gembira dan bersejarah, perceraian sepatutnya dianggap malapetaka paling besar.

Istilah perceraian sepatutnya tiada dalam kamus perkahwinan. Perceraian adalah jalan terakhir setelah segala usaha untuk mengekalkan rumahtangga gagal. Rakyat yang baik bermula dari keluarga yang bahagia. 

No comments:

Post a Comment