Thursday, 26 July 2018

JANGAN PERMUDAHKAN SOAL TALAK

Kehidupan rumah tangga memang banyak dugaan. Masalah tiada kesefahaman, sikap angkuh pasangan, campur tangan keluarga, masalah penyakit, masalah kewangan, gagal menjalankan tanggungjawab dan sebagainya sering menyebabkan rumah tangga tidak berada dalam keadaan aman.

Islam menyarankan agar sebarang permasalahan dalam rumah tangga diselesaikan dengan sebaik-baiknya. Jangan mengambil jalan singkat yang boleh menghancurkan kebahagiaan yang ingin dikecapi melalui perkahwinan. 

Jika terdapat persengketaan antara suami dan isteri, perlu diadakan muhasabah untuk mencari punca krisis berlaku. Dalam hal ini keikhlasan suami dan isteri amat penting. Jangan mudah menyalahkan pasangan sebagai penyebabnya. Sikap membuat kesimpulan sebelum perbincangan hanya akan menambah lagi kekusutan. 

Keadilan hanya akan wujud jika perbincangan dilakukan dengan berlapang dada. Ketika suami atau isteri menjelaskan apa yang berlaku, ia mestilah didengar dan diperhalusi tanpa prejudis. Dengan cara itu kebenaran lebih mudah ditemui dan keputusan dapat dibuat dengan adil.    

Dalam usaha merungkai masalah yang timbul, bercakap benar amat penting. Antara suami dan isteri seharusnya tiada rahsia merahsia, sama ada zahir mahupun batin, kecuali jika dikhutiri berterus terang dalam hal tertentu akan mendatangkan keburukan, maka harus ia dirahsiakan.

Bercakap benar perlu diamalkan sepanjang masa. Pembohongan antara satu sama lain akan menghancurkan rumahtangga yang dibina. Jika berbohong, lambat laun ia akan terbongkar juga. Keadaan ini menyebabkan suami atau isteri tidak lagi mempercayai apa yang dicakapkan biarpun perkara yang benar.

Bercakap benar akan membina ikatan saling mempercayai dan seterusnya mengelak rasa curiga. Ada pepatah mengatakan, "Bercakap benarlah kamu, walaupun benar itu pahit, kerana kepahitan itu adalah penawar yang mujarab."

Jika difikirkan sukar diadakan perbincangan ketika suami dan isteri telah ‘panas’ dan buntu fikiran, maka Islam menyuruh agar kedua-dua menghantar wakil untuk berbincang. Pendekatan itu diharapkan dapat mencari jalan penyelesain terbaik memandangkan wakil dianggap lebih matang dan berpengalaman dalam hal berkaitan.

Firman Allah bermaksud: “Dan jika kamu khuatir ada persengketaan antara keduanya, maka kirimkan hakam (jurupendamai) daripada keluarga lelaki dan perempuan. Jika kedua-dua hakam itu bermaksud mengadakan kebaikan, nescaya Allah memberi taufik kepada suami isteri itu.” (Surah an-Nisa, ayat 35)

Ini bermakna suami dan isteri yang menghadapi masalah tidak boleh mengambil mudah dalam soal tersebut sehingga mengambil keputusan sendiri untuk bercerai. Tambahan lagi soal talak bukan boleh dibuat main-main maupun dilakukan secara bergurau.

Perkataan talak atau cerai yang dilafazkan oleh suami sah biarpun dilakukan ketika marah, bergurau, ugutan dan seumpamanya. Talak berlaku bukan saja melalui ucapan, tetapi juga dalam bentuk tulisan, termasuk melalui media sosial. 

Justeru, soal talak tidak boleh dipandang mudah. Betapa payahnya hendak melangsungkan perkahwinan yang terpaksa melalui beberapa proses, begitu juga sepatutnya sebelum berlaku talak.

Si isteri jangan mencabar suami menjatuhkan talak apabila berlaku perkara yang tidak disenangi. Manakala suami pula perlu berhati-hati dan bersabar daripada mengucapkan perkataan talak atau perkataan yang boleh menyebabkan talak.

Islam membenarkan talak bukan bermakna ia satu perkara yang ‘mudah’ dilakukan. Talak adalah jalan terakhir dalam penyelesaian masalah rumah tangga. Selagi ada peluang untuk kembali aman, maka wajib dilakukan uasaha ke arah itu. Islam membenarkan talak demi untuk kebaikan kedua-dua pihak.

Firman Allah bermaksud: “Tidak ada sesuatu dosa atas kamu jika kamu menceraikan isteri kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 236). Ayat itu jelas tentang harus bagi suami menceraikan isterinya atas sebab tertentu.

Sesungguhnya, kebenaran suami mentalak isteri bukan bermakna ia boleh dipermudahkan dan dipermainkan. Kamus rumah tangga tidak sepatutnya menyimpan perkataan talak. Anggaplah tidak wujud perkataan itu dan tidak mungkin ia akan terjadi dalam rumahtangga.

Talak ertinya berlawanan dengan akad nikah. Jika perkahwinan itu dituntut, maka talak pula perlu dihindarkan. Peristiwa talak mengundang kebencian Rasulullah SAW dan Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sebenci-benci perkara halal di sisi Allah ialah talak.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Suami tidak boleh bertindak atau memperlakukan sesuka hati terhadap isteri. Isteri mempunyai hak untuk mendapat layanan terbaik daripada suami. Isteri bukannya hamba memuaskan nafsu suami semata-mata. Institusi perkahwinan adalah pelindung bagi wanita daripada perbuatan jahat lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Kebahagiaan yang diharapkan pada permulaan perkahwinan perlu diteruskan sepanjang masa. Semakin lama usia perkahwinan, sepatutnya semakin erat kasih sayang dan mendewasakan mereka dalam menghadapi cabaran hidup. 

No comments:

Post a Comment