Kenduri
kahwin kini memerlukan kos yang tinggi. Trend majlis perkahwinan di hotel atau
dewan telah mengganti majlis yang biasanya diadakan di rumah. Orang kampung pun
sudah pandai kenduri dengan menempah makanan. Jika dulu tuan rumah menghantar kad
jemputan secara fizikal, namum sekarang melalui media sosial. Ke mana pergi
adat budaya kita?
Dulu
orang bagi bunga telur tanda terima kasih tuan rumah kepada tetamu, hari ini
ada yang bagi gula-gula, coklat, buah, kek dan berbagai hiasan termasuk rantai
kunci dan sapu tangan.
Semua
perubahan majlis perkahwinan bermula daripada persedian hingga ke majlisnya
menunjukkan masyarakat Melayu Islam Malaysia yang melalui proses perubahan dan
yang pasti kelihatan semakin mewah.
Namun
berapa ramaikah yang benar-benar tahu tentang hukum pernikahan dan hukum
mengadakan kenduri atau walimatulurus? Siapakah yang sepatutnya
bertanggungjawab mengadakan majlis dan siapa yang perlu mengeluarkan belanja?
Yang pasti, ramai pasangan yang mahu berkahwin, digamit rasa khuatir kerana
perkahwinan memakan belanja yang tinggi. Akhirnya, tunda majlis kerana tidak
cukup wang.
Perkahwinan
juga bukan sekadar kendurinya saja. Hari ini, orang tidak tanya berapa mahar
atau mas kahwin pengantin perempuan kerana ia telah ditetapkan (ikut ketetapan
negeri) dan orang mampu mengadakannya.
Sebaliknya,
tetamu menjeling-jeling wang hantaran dan mengira jumlah dulang yang dihantar.
Bukan itu saja, ada yang sanggup membelek-belek barangan yang dihantar hendak
menentukan kualiti; tulen atau tiruan.
Ibu
bapa sanggup berbelanja ratusan ribu ringgit malah ada pasangan muda yang
sanggup berhutang untuk memastikan kenduri perkahwinan menjadi paling meriah
dan paling mahal. Memanglah, pasangan mempelai mahu majlis perkahwinan mereka
paling istimewa dan unik sebagai tanda cinta mereka.
Apa
yang berlaku hari ini, pasangan mendahulukan semua yang adat seperti membelanja
wang untuk hantaran, membeli barang hantaran, membeli bunga telur atau apa-apa
buah tangan untuk tetamu, menempah mak andam beserta pelamin, baju dan hiasan
perkahwinan.
Pasangan
hanya berbelanja RM300 sebagai mas kahwin atau mahar berbanding RM50,000 untuk
yang lain-lain sedangkan ia hanya adat, bukannya wajib. Malah ia boleh
menimbulkan riak kerana rasa ingin menunjuk-nunjuk dan pembaziran.
Mas
kahwin adalah pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah Hukum Syarak oleh
suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang
yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran,
atau berupa sesuatu yang menurut Hukum Syarak, dapat dinilai dengan wang.
Bagi
memastikan suatu perkahwinan itu sah berlaku dan memenuhi kehendak hukum
syarak, pasangan hendaklah diakadnikahkan oleh wali atau oleh pendaftar dengan
kebenaran wali dan disaksikan oleh dua saksi.
Pasangan
mestilah seorang lelaki dan seorang perempuan dan pengantin lelaki hendaklah
membayar mas kahwin kepada pengantin perempuan.
Alangkah
mudahnya majlis pernikahan tersebut dan hari ini pasangan telah boleh bernikah
dengan mempunyai minimum RM500 kerana jika maharnya RM300, upah nikah dan
sedikit yang lain, pasangan boleh diakadnikah dengan selamat.
Tentunya
ramai yang berkata "tidak mungkin" kerana hari ini hantaran mencecah
RM20,000. Itu tidak termasuk harga barang hantaran seperti cincin pertunangan
dan cincin perkahwinan (ada juga yang memberi rantai dan gelang emas) kasut,
baju, bag tangan, minyak wangi dan lain-lain barangan sokongan sebagai
hantaran.
Ada
pasangan berbelanja RM5,000 ke 10,000 untuk hantaran sahaja. Majlis kenduri
jika berlangsung di hotel, kosnya kepada berapa jemputan dan jenis makanan yang
dihidangkan dan tidak kurang daripada RM50,000. Barang-barang lain yang sangat
mahal adalah pelamin, baju pengantin dan bunga telur dan hadiah kepada tetamu.
Jika dijumlahkan dari bertunang hingga akad nikah, ada pasangan membelanjakan
RM100,000.
Ada
yang membelanjakan wang simpanan, ada yang membelanjakan duit ibu bapa yang
bergadai bergolok untuk majlis anaknya kerana takut malu dan mahu menjaga air
muka dan nama. Lebih malang, pengantin lelaki yang terpaksa meminjam wang bank,
koperasi atau kawan kerana wang simpanan tidak mencukupi.
Ramai
yang terpaksa bertunang lama kerana perlu mengumpul wang. Lebih malang, bayaran
pinjaman belum habis dibayar, isteri dah minta cerai. Menurut kajian, lelaki
berkahwin pada usia 28 tahun dan wanita 26 tahun dan adakah ini bermakna
pasangan lambat berkahwin kerana faktor kos perkahwinan yang sangat mahal.
Perkahwinan
adalah isu jodoh dan kita perlu sentiasa ingat bahawa jodoh pertemuan adalah
hak Allah. Memang ramai wanita berkahwin lambat kerana kebanyakan wanita
berpendidikan tinggi. Bagi yang wanita perkahwinan bergantung kepada jika ada
orang masuk meminang tetapi bagi lelaki sama ada dia mampu untuk meminang.
Jika
tamat belajar mereka berumur 24 tahun dan dengan gaji RM3,000 ke 4,000 sebulan,
dengan membayar PTPTN, pinjaman kereta dan perbelanjaan harian, mereka mungkin
dapat menabung RM1,000 sebulan. Jika perbelanjaan perkahwinan (hantaran sahaja
RM15,000) mereka perlu menabung 15 bulan. Jika anggaran perbelanjaan
perkahwinan itu RM50,000 maka mereka hanya boleh berkahwin selepas 50 bulan
bekerja (iaitu empat tahun) dan tentulah usia perkahwinan menjadi 28 tahun.
Alangkah
baiknya simpanan RM50,000 itu dijadikan wang muka membeli rumah dan pasangan
boleh terus tinggal di rumah sendiri selepas berkahwin.
No comments:
Post a Comment