Thursday 24 October 2019

APA HUKUM KANAK-KANAK MENJADI IMAM SOLAT ORANG DEWASA

Apakah hukum kanak-kanak yang sudah mumayyiz tetapi belum baligh (umur lebih kurang 7 tahun) menjadi imam?

Para ulama berselisih pendapat dalam hal ini. Ada ulama berpendapat ia adalah harus untuk sembahyang fardu dan sunat. Pendapat kedua ialah hanya harus untuk sembahyang sunat dan tidak bagi sembahyang fardu. Manakala pendapat ketiga ialah tidak sah untuk kedua-dua jenis sembahyang.

Pendapat pertama yang menghukum harus kanak-kanak yang sudah mumayyiz menjadi imam sama ada untuk solat fardu atau solat sunat. Ini adalah pendapat mazhab Syafie.

Ia berdasarkan dalil daripada Amru bin Salamah (yang berumur enam tahun) berkata “ Apabila kaumku balik daripada Nabi SAW, mereka berkata “Hendaklah menjadi imam orang yang paling membaca Quran di kalangan kamu.” Lalu mereka memanggilku dan mengajarku solat, lalu aku menjadi imam kepada mereka.”

Ini adalah hadis sahih riwayat Imam Bukhari (4302), Abu Daud (585) dan Nasaie (767). Imam Ibnu Hajar berkata dalam kitab Fathul Bari bahawa hadis ini menjadi hujah kepada ulama Syafie pada harusnya budak yang mumayyiz menjadi imam dalam solat fardu.

Ini bermakna kanak-kanak yang mempunyai kelebihan seperti mereka yang menghafal al-Quran dan bagus bacaannya atau kanak-kanak yang dianugerahkan Allah akan ilmu dalam agama boleh dijadikan imam berjemaah.  

Imam Khatib al-Syarbini menyatakan: “Sekiranya kanak-kanak lebih afdhal (baik) daripada orang dewasa seperti mereka fasiq tetapi kanak-kanak itu dari kalangan baik dan bagus maka kanak-kanak itu dikehadapankan daripada orang dewasa. Pendapat ini disebutkan oleh al-Darimi. (Mughni al-Muhtaj, jilid 1, hlm. 492)

Pendapat mengatakan kanak-kanak diharuskan menjadi imam pada solat sunat sahaja dan tidak boleh untuk solat fardu berdasarkan kepada hadis didiriwayatkan dari Ibnu Abbas: "Budak kecil tidak boleh menjadi imam sehinggalah dia baligh."

Pendapat ini berpegang dengan hadis ini dan menyatakan hadis Amru Salamah menjadi imam pada solat sunat.

Ibnu Hajar mengatakan ini adalah hadis yang lemah.

Manakala pendapat ketiga mengatakan tidak sah budak yang belum baligh menjadi imam. Ini pendapat mazhab Hanafi.

Dalil pendapat ini ialah hadis Ibnu Abbas menyatakan hadis Amru bin Salamah menjadi imam adalah semata-mata ijtihad sahabat dan tidak boleh jadi dalil.

Secara kesimpulannya, pendapat pertama yang mengatakan sah imam budak yang mumayyiz lebih kuat berdasarkan hadis Amru bin Salamah.

No comments:

Post a Comment