Monday 28 October 2019

BAHAYA MAKAN JERING

Jangan banyak makan jering kerana boleh menyebabkan pelbagai masalah. Jering dikelaskan sebagai racun sederhana kerana di dalamnya terkandung asid djenkolic dan asid amino yang menyebabkan keracunan jering.

Untuk mengurang kesan sampingan ini, pemakan jering dinasihat meminum air kosong dengan banyak bagi mengurangkan pengumpulan asid djengkolic dalam badan atau melawaskan kencing.

Jering juga dipanggil kenuak, jengkol atau ongkol. Jering sangat digemari oleh masyarakat Malaysia, Thailand dan Indonesia.

Jering mengeluarkan bau agak busuk apabila dimakan, namun enak rasanya dan sangat digemari sama ada dimakan segar, direbus dan dimakan bersama kelapa parut, dijeruk atau dimasak.

Buah dan pucuknya berasa lemak-lemak pahit dan pedar. Sesiapa yang memakan buah jering akan mengeluarkan air kencing yang berbau hancing kuat.

Mengapa jering berbau busuk?, kandungan asid amino yang terdapat dalam biji jering mengandungi unsur sulfur yang mengeluarkan bau apabila terdegradasi atau terpecah menjadi kecil, asid amino akan menghasilkan gas H2S yang terkenal berbau.

Bau jering mungkin kurang disenangi oleh orang yang tidak memakannya tetapi bagi orang yang mengemari memakannya, baunya tidak menjadi masalah kerana rasanya yang enak.

Pokok jering mudah dibiakkan menggunakan semaian biji benih. Pokoknya sederhana besar setinggi 15-25 m, berkanopi bulat atau tiada bentuk.

Pokok jering akan berbuah setelah 4-6 tahun ditanam. Bunga berbentu dibahagian hujung dahan dan sesuai dipetik selepas warna bertukar coklat gelap dan berisi. 

Buahnya sederhana besar dengan kulit tebal, kulit perang keungguan gelap, terdapat jerutan kulit di antara biji-biji. Biji besar, kulit biji hijau ketika muda, bertukar coklat tua setelah tua.

Dari segi perubatan, biji jering mengandungi sejenis bahan alkaloid yang boleh merangsang pembuang air kencing, dan bagi pesakit kencing manis, jering boleh menjadi penawar yang berkesan jika diambil berterusan dengan kadar yang sedikit.

Ini disebabkan kandungan sebatian alkaloid di dalam jering mampu meneutralkan kandungan gula dalam badan. Jering juga boleh mengurangkan tekanan darah tinggi serta melawaskan pembuangan air kecil serta besar.

Biji jering mengandungi air, protein, karbohidrat, abu, lemak, gentian, asid jenkolik, serat, kalsium, fosforus, vitamin A, B dan C, minyak (mengandungi belerang, alkaloid yang melawaskan buang air kecil). Manakala pucuk jering mengandungi karbohidrat, alkaloid, serat, air, mineral dan vitamin.

1 comment:

  1. Berapa banyak buah jering yg boleh di makan yg dikatakan ksdar yg sedikit

    ReplyDelete