Friday 13 December 2019

SEJARAH BALAI POLIS GUA MUSANG DISERANG KOMUNIS

Dalam catatan sejarah, jika disorot mengenai balai polis diserang pengganas komunis, maka tergambar mengenai sejarah serangan Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Feb 1950. Serangan pengganas komunis itu telah mengorbankan 14 anggota polis, empat isteri anggota polis, seorang anak polis dan enam polis bantuan (AP).

Sebenarnya, kes serangan pengganas komunis terhadap balai polis berlaku di seluruh negara. Namun, kes serangan balai polis di tempat lain tidak mendapat liputan sejarah sama seperti apa yang berlaku di Bukit Kepong disebabkan sekala korban yang tidak besar.

Salah sebuah balai yang menjadi mangsa kekejaman pengganas komunis ialah Balai Polis Gua Musang yang pada masa itu baharu didirikan semula di kaki Bukit Gua Musang berhampiran dengan stesen keretapi menggantikan balai polis yang musnah dibakar semasa pendudukan Jepun.

Sejarah hitam itu berlaku pada 19 Julai, 1948 apabila segerombolan komunis seramai lebih kurang 300 anggota telah mengepung dan menyerang balai berkenaan.

Walaupun dengan kekuatan seramai 16 anggota yang diketuai oleh seorang pegawai polis berpangkat Inspektor, mereka dapat bertahan selama hampir satu jam setengah sehingga kehabisan peluru.

Seorang anggota polis terkorban, 14 anggota telah menyerah diri dan seorang lagi berjaya melarikan diri. Manakala di pihak komunis tidak diketahui jumlah yang terkorban.

Pada keesokan harinya, satu operasi dengan pesawat terbang Dakota telah dilakukan terhadap pengganas komunis di bandar ini. Anggota-anggota polis yang ditawan pengganas dalam pertempuran sehari sebelum itu berjaya dibebaskan dan dibawa balik ke Kuala Krai.

Gerombolan komunis tersebut dipercayai telah berundur melalui Kampung Pulai.

No comments:

Post a Comment