Sunday 25 December 2022

GONG ALAT IRINGI PERSEMBAHAN TRADISIONAL

 
Gong adalah sejenis alat bunyi-bunyian daripd logam yang bertombol, dibunyikan dengan secara dipalu. Ada juga gong yang dipanggil dengan nama tetawak dan canang besar.
 
Sebenarnya gong banyak bentuk dan nama lain mengikut negeri. Bahkan di sesetengah negeri, setiap daerah mempunyai bentuk gong dan cara dimainkan yang berbeza-beza.
 
Di Kelantan, gong digunakan sebagai salah satu alat muzik untuk mengiringi persembahan dikir barat, makyung, main puteri, menora, persembahan silat dan tarian asyik.
 
Manakala di Sabah, gong boleh dikatakan menjadi seni mempunyai nilai yang tinggi. Gong akan dipalu apabila ada pesta seperti Kaamatan atau perkahwinan. Cara gong dipalu mengikut rentak lagu yang dimainkan.
 
Paluan gong dimainkan mengikut rentak mengikut sesuatu tempat, contohnya paluan gong daerah Penampang dan daerah Keningau adalah berbeza.
 
Bilangan gong yang dimainkan bersama berbeza-beza mengikut keperluan masyarakat setempat. Satu atau dua buah gendang juga sering dipalu bersama untuk menyeragamkan iramanya.
 
Gong merupakan tulang belakang dalam kebanyakan bentuk permainan muzik di Sabah. Ia dimainkan dalam hampir semua upacara sosial. Tanpa gong dirasakan ia tidak menjadi meriah dan hilang serinya.
 
Di kalangan masyarakat Dayak Sarawak terutama orang Iban, gong yang besar dikenali sebagai "tawak". Gong yang lebih kecil dan nipis dikenali sebagai "bebendai" dan yang paling kecil ialah "engkerumong".
 
Gong bukan sekadar alat muzik tradisional bagi masyarakat Dayak, tetapi mempunyai fungsi-fungsi tertentu. Gong banyak digunakan dalam upacara-upacara masyarakat Dayak terutamanya semasa Perayaan Hari Gawai, majlis perkahwinan dan juga semasa kecemasan.
 
Tarian ngajat misalnya menggunakan gong sebagai alat muzik utama.
Pada zaman dahulu gong merupakan harta yang sangat berharga bagi masyarakat Iban di Sarawak.

No comments:

Post a Comment