Sunday 5 January 2020

PELBAGAI KEGUNAAN KAIN PELEKAT

Melihat gambar ini tentu ramai menyangka tulisan akan dihidangkan atau memperkatakan mengenai buah tersebut. Oh tidak... tulisan itu tiada kaitan dengan buah itu. Penulis sendiri tidak pasti jenis buah tersebut. Mungkin mempelam atau pauh, kuini dan mungkin juga buah bacang.

Tulisan ini membincangkan kegunaan kain pelekat (biasanya dieja pelikat) atau kain sarung. Kita sedia maklum kegunaan kain pelekat adalah untuk menutup aurat. Biasanya dipakai ketika menunaikan sembahayang dan ketika santai berada di rumah.

Sebenarnya kain pelekat juga boleh digunakan untuk pelbagai tujuan. Kain pelekat dihampar untuk dijadikan alas duduk, menutup sesuatu dan juga anduh untuk mengampu bahagian tangan yang patah atau bahu terkehel.

Satu lagi kegunaan kain pelekat ialah untuk dijadikan 'guni' atau bekas membawa barang, termasuk buah. Pada masa dahulu, kalau pergi mengembara, kain pelekat sering dijadikan pembungkus atau guni.

Sekarang pun, ramai yang menggunakan kain pelekat untuk dimasukkan sesuatu. Kalau pulang ke kampung atau pergi sesuatu tempat, pakaian yang telah diguna dan tidak sempat dibasuh, akan dimasukkan ke dalam kain pelekat supaya tidak bercampur dengan pakaian yang belum digunakan.

Untuk menjadi kain pelekat sebagai 'guni', satu bahagian akan diikat menggunakan tali atau dibuat simpulan. Cukup mudah.

Cara lain kain pelekat boleh digunakan membawa barang ialah dengan membuat hamparan dan kemudian diletakkan barang. Lepas itu ikat dua bucu atau keempat-empat bucu mengikut yang sepatutnya.

Selamat mencuba dan memanfaatkan kain pelekat atau kain sarung.

No comments:

Post a Comment