Monday, 9 July 2018

Suami Jadi Suri Rumah?

Lelaki ke dapur satu fenomena yang sihat kerana ia mewujudkan perkongsian dan tanggungjawab dalam membesarkan anak serta mengurus rumah tangga. 

Jika dahulu lelaki ke dapur dianggap tidak ‘macho’, tetapi sekarang ukuran tersebut telah berubah apabila semakin ramai golongan lelaki termasuk yang berpendidikan tinggi berbuat demikian.

Fenomena lelaki ke dapur dilihat tidak lagi menjadi satu yang pelik. Kemampuan lelaki memasak, terutama di kalangan chef juga telah diakui mengatasi perempuan. Banyak chef terkenal di negara kita adalah lelaki. 

Tetapi, soal pandai memasak bukan isu dalam menentukan siapa yang sepatutnya memasak untuk keluarga. Secara hakikinya, tugas memasak dan menyediakan hidangan adalah tugas wanita, atau dalam konteks suami isteri ia adalah tugas isteri.

Memang tidak dinafikan semakin ramai lelaki turut berada di dapur menolong isteri memasak. Ini biasa berlaku dalam keluarga moden yang mana suami dan isteri sama-sama berkerjaya. Itupun biasanya hanya pada hari cuti yang mana suami isteri sama sama di dapur, sedangkan pada hari lain mereka makan di luar.

Tidak salah jika suami turut membantu isteri di dapur kerana ia secara tidak langsung mewujudkan perasaan kasih sayang yang lebih erat. Cara itu juga suami akan lebih faham tugas di dapur dan tidak hanya mengharapkan isteri melakukan semuanya. 

Tindakan suami membantu isteri di dapur memang dihargai isteri, terutama jika suami isteri bekerja yang mana isteri sudah tentu sibuk dan letih selepas balik bertugas.

Suami yang mengetahui tugas di dapur dapat berdikari jika isteri tidak ada di rumah kerana menghadiri kursus, tugas luar atau sakit yang mana tidak dapat melaksanakan tugas biasa di dapur.

Satu lagi situasi yang mungkin menyebabkan suami turut berada di dapur ialah untuk membantu isteri yang sebenarnya kurang mahir memasak. Maka mereka sama-sama belajar dan melakukan bersama. Ini berlaku di kalangan pasangan muda yang tinggal berasingan dengan keluarga.

Bila sudah biasa melakukan bersama, maka tidak sukar ia diteruskan dan menjadi satu budaya dalam masyarakat bandar hari ini.

Bagaimana pun, jika berlaku suami melakukan tugas di dapur, sedangkan isteri bersenang-senang di ruang tamu, itu kira sudah tidak patut. Ia satu keterbalikan dalam sistem rumah tangga. Keluarga itu pasti tidak aman dan sering dilanda masalah.

No comments:

Post a Comment