Monday 20 July 2020

SIFAT BERMUKA-MUKA PENYEBAB PERPECAHAN

Islam itu agama yang sesuai dengan nilai- nilai kemanusiaan sejagat. Rasulullah SAW berpesan supaya diutamakan persaudaraan sesama kita dengan berbuat amalan yang cukup mudah seperti mengucapkan salam dan memberi orang makan, dan amalan yang tersembunyi seperti solat di dalam kegelapan malam.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Wahai manusia, sebarkan salam, berilah makan dan dirikan solat di malam hari di waktu manusia sedang semuanya tidur, nescaya engkau akan memasuki syurga dengan sejahtera.“

Malang sekali, lebih banyak orang lebih suka melakukan perkara yang ditegah. Salah satu penyakit yang melanda masyarakat dalam negara pada hari ini adalah sifat bermuka-muka.

Sifat bermuka-muka atau lebih tepat disebut talam dua muka ini terjadi apabila wujudnya perasaan hasad dengki yang menebal di dalam diri. 

Orang yang bermuka-muka adalah orang yang menyembunyikan apa yang ada di dalam hatinya ketika bertemu dengan seseorang atau sekelompok orang yang dia musuhi dengan mengatakan perkataan atau sikap yang berbeda dengan apa yang disimpan dalam hatinya.

Sikap bermuka-muka ini adalah suatu sikap yang sangat buruk di sisi agama dan moral. Hal ini kerana Islam tidak mengajar umatnya untuk saling berhasad dengi dan menjadi ‘batu api’ dalam kalangan masyarakat hingga menyebabkan perpecahan di kalangan mereka.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya daripada seburuk-buruk manusia di sisi Allah pada hari kiamat ialah mereka yang bermuka dua.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Hadis ini sudah cukup menggambarkan bahawa Allah sangat membenci para hambaNya menjadi seorang yang bermuka-muka untuk tujuan kepentingan diri.

Ini kerana amalan sebegini akan menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam dan seterusnya membolehkan pihak musuh mencari jalan untuk menghancurkan lagi ikatan kepercayaan manusia terhadap agama ini.

Bagi seorang Muslim, tidak berburuk sangka terhadap saudara seagama dan berusaha menutup kelemahan orang lain kerana mereka menutup keaiban orang lain ketika di dunia, Allah SWT akan menutup keaibannya pada hari kiamat.

Sikap talam dua muka bukan kecil kesannya. Ia boleh menyebabkan putus sahabat, pergaduhan adik beradik dan keluarga, sengketa dalam masyarakat dan lebih buruk lagi membawa kepada kejatuhan satu kerajaan.

Berita yang didengar tidak perlu dihebahkan kepada orang lain kerana ia mungkin mencetuskan permusuhan antara saudara seagama. Janganlah kita terlalu cepat menghukum disebabkan berita yang kita dengar.

Oleh itu, jalan selamat ialah bersikap mendiamkan diri dan jangan mudah menerima berita yang didengar serta menyebarkannya. Marilah kita sama-sama menggunakan segala nikmat yang dianugerahkan ke jalan yang diredai Allah SWT.

No comments:

Post a Comment