Thursday 29 October 2020

MUHYIDDIN PAKSA UMNO PILIH HISHAMUDDIN SEBAGAI TPM?


Sebelum ini bertiup kencang ura-ura mengatakan bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kepada UMNO yang dilihat sebagai satu langkah untuk memperkukuhkan kedudukannya yang semakin goyah diasak dari segenap penjuru.

Pada satu aspek, tawaran itu memang elok dan sepatutnya sejak awal lagi ia dilakukan. Namun, perkara yang mencurigakan ialah tawaran ini bersyarat iaitu Muhyiddin tidak mahu menerima Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi.

Penganalisa politik berpendapat tawaran itu sebagai tidak ikhlas dan bakal memberi kesan buruk kepada UMNO.

Sekarang ini timbul pula dakwaan kononnya Muhyiddin paksa UMNO pilih Hishamuddin sebagai TPM.

Babak cerita politik memang kompleks. Setiap apa yang tersebar tidak boleh dianggap benar sehinggalah ia benar-benar berlaku.

Umpama perlawanan bolasepak, bola yang melepasi garisan gol tidak boleh dianggap sebagai jaringan gol sehiggalah disahkan oleh pengadil perlawanan.

Apapun naratif di sebalik cerita ‘Muhyiddin tidak terima Zahid’ dan ‘Muhyiddin paksa UMNO pilih Hishamuddin sebagai TPM’, kematangan politik perlu digarap dalam pemikiran sebelum membuat keputusan.  

Menerima bulat-bulat permintaan Muhyiddin (mengikut naratif di atas, jika benar) dilihat akan menjadi punca berlaku perbalahan dalaman UMNO yang membawa kepada perpecahan apabila UMNO dipaksa oleh pihak luar daripada parti terutama oleh parti PPBM.

Namun, pada sisi lain pula, banyak pemerhati politik berpendapat tawaran ‘istimewa’ ini perlu disambut dengan baik. Ini masanya untuk UMNO kembali diperkasakan di dalam kabinet dan sekaligus memberi lebih ruang untuk membantu menyelesaikan kemelut kepimpinan yang berlaku sekarang.

Jika pilihan itu diterima, siapa calon paling layak di kalangan pemimpin UMNO untuk dicadangkan menjadi Timbalan Perdana Menteri?

Berdasarkan kepada situasi semasa pemimpin UMNO yang sudah berada di dalam senarai kabinet Muhyiddin, tokoh yang dianggap paling layak ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pendapat ini berdasarkan kepada Ismail Sabri kini telah berada pada kedudukan sebagai Menteri Kanan Keselamatan. Dalam kabinet Muhyiddin terdapat empat menteri kanan iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, YB Mohd Radzi Md Jidin, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ismai Sabri sendiri.

Empat menteri kanan ini bertanggungjawab membantu Perdana Menteri menyelaras hal ehwal Kabinet berkaitan bidang ekonomi, keselamatan, pembangunan infrastruktur serta pendidikan dan sosial.

Ismail Sabri ternyata sepanjang tempoh menjawat menteri kanan telah berjaya melaksanakan tugas dengan baik, terutama dalam memerangi Covid-19.

Faktor kedua yang sepatutnya dipandang penting ialah jawatan Ismail Sabri dalam UMNO sebagai Naib Presiden. Ismail Sabri adalah wakil UMNO paling kanan di dalam kabinet Muhyiddin sekarang ini.

Malah, ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH), Ismail Sabri telah dilantik sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat yang mana perlantikan itu dipersetujui oleh semua ahli parlimen dari BN dan PAS yang berada di blok pembangkang pada ketika itu.

Percalonan Ismail Sabri dilihat paling tepat jika UMNO menerima syarat Muhyiddin yang menerima calon selain Zahid Hamidi.

Mengenai Hishamuddin, tiada siapa mempertikaikan ketokohannya. Namun, seperti sedia maklum, beliau bukan di kalangan pemimpin tertinggi UMNO, biarpun kini dilantik sebagai Bendahari Barisan Nasional.

Haraki dalam parti perlu diambil kira dalam perlantikan ke jawatan kabinet. Ia mewakili parti dan bukan atas individu. Jawatan TPM yang ditawarkan adalah kepada UMNO. Maka seharusnya ia dipilih oleh parti.

Muhyiddin perlu menghormati pilihan UMNO jika benar-benar ikhlas ingin menjalani hubungi baik dengan parti yang dianggap sebagai penyelamat kedudukannya sekarang.

No comments:

Post a Comment