Friday 20 May 2022

USAHA KURANGKAN KADAR KEMALANGAN JALAN RAYA

 
Kadar kemalangan masih menakutkan. Saban tahun terutama ketika musim perayaan, banyak nyawa terkorban.

Pada logiknya, kadar kemalangan jalan raya akan meningkat berikutan pertambahan jumlah kenderaan berdaftar di seluruh negara.

Justeru, dengan pertambahan jumlah kenderaan itu semestinya perlu ada perancangan lebih strategik dan sistematik pada masa depan untuk memastikan kadar serta peratusan kemalangan jalan raya termasuk kemalangan maut dapat diturunkan pada kadar paling minimum.

Pada dasarnya, menjadikan jumlah sifar kemalangan jalan raya adalah mustahil dicapai di negara ini kerana banyak faktor penyumbang kepada kejadian berkenaan terutama sikap pemandu masih berada pada tahap teruk berbanding aspek jalan raya, teknikal, cuaca dan keadaan kenderaan itu sendiri.

Banyak lagi perlu diperbaiki untuk membentuk pemandu berhemah, berdisiplin, beretika dan akhirnya membentuk pemandu bertaraf kelas pertama. Penunggang dan pembonceng motosikal terus mencatat jumlah tertinggi kemalangan maut di negara ini.

Penunggang dan pembonceng motosikal adalah golongan paling tinggi maut dalam kemalangan iaitu 17 kali ganda risiko kematian berbanding kereta kerana ia tidak mempunyai ciri keselamatan dan sikap buruk penunggang sendiri.

Penunggang motosikal yang kebanyakan berusia antara 18 hingga 25 tahun masih ego dengan darah muda mereka dan mahu menjadi raja di jalan raya serta mengabaikan peraturan lalu lintas, kadar kemalangan maut melibatkan mereka kekal tinggi.

Berdasarkan jumlah kemalangan jalan raya, kita sudah dapat menjangka bagaimana tahap pemandu di negara ini. Ternyata masih teruk dalam pelbagai aspek.

Sudah pasti, semua agensi penguat kuasa tidak mempunyai kekuatan serta anggota yang mencukupi bagi menjalankan operasi bersepadu sepanjang masa untuk memantau pergerakan kenderaan di seluruh negara.

Oleh itu, sebagai pengguna jalan raya mereka seharusnya bekerjasama mengurangkan beban penguatkuasa itu dengan mengubah minda menjadi pemandu berhemah yang mematuhi peraturan lalu lintas.

Kesalahan biasa yang kerap dilakukan pemandu seperti menggunakan telefon bimbit tanpa alat bebas tangan, memotong garisan berkembar, melanggar lampu isyarat merah dan memandu secara melulu serta berbahaya patut dikikis.

No comments:

Post a Comment