Saturday 18 November 2023

CARA OPERASI MCDONALD’S DIJALANKAN

 
McDonald’s (McD) sebuah syarikat makanan segera antarabangsa yang terkenal di seluruh dunia. Operasi di seluruh dunia dilakukan secara perniagaan francais. Terdapat satu syarikat induk iaitu McDonald’s Corparation yang beroperasi di Amerika Syarikat.
 
Syarikat induk adalah berstatus syarikat awam yang disenaraikan di bursa saham. Maksudnya saham syarikat ini boleh dibeli oleh sesiapa sahaja. Mengikut data, terdapat lebih 1.8 juta pemegang saham McD di seluruh dunia.
 
Pemegang saham itu adalah orang awam dan syarikat tak kira muslim atau tidak. Setiap seorang tidak boleh beli saham melebihi 5 peratus. Bagaimana pun ada syarikat-syarikat awal yang pegang lebih daripada 5 peratus. Apabila jadi pemegang saham, bermaksud mereka salah seorang pemilik syarikat McD.
 
Syarikat yang diberikan hak francais dikehendaki membayar 5 peratus royalti kepada syarikat induk. Bayaran royalti yang diperolehi dari kutipan francais adalah digunakan untuk kos operasi, pengurusan, pemasaran dan lain-lain.
 
Selepas tolak semua kos, cukai dan pelbagai peruntukan yang diputuskan oleh lembaga pengarah atau mesyuarat agung syarikat, maka baki yang tinggal itu adalah untung syarikat. Keuntungan ini akan dibahagikan kepada 1.8 juta pemegang saham McD seluruh dunia.
.
Sebagai sebuah bisnes francais, McDonald’s mempunyai lebih 40 ribu cawangan di seluruh dunia. Setiap negara diberikan hak membuka francais dengan satu syarikat induk di negara masing-masing.
 
Di Malaysia terdapat lebih 300 cawangan beroperasi di seluruh negeri. Maksudnya, dari segi peratusannya, bilangan kedai McD di Malaysia hanya mewakili kira-kira satu peratus daripada jumlah seluruh dunia.
 
Di Malaysia, lesen francais dipegang oleh Reza Group yang dimiliki bangsa Arab beragama Islam. Reza Group juga pemegang lesen francais di Singapura dan Arab Saudi.
 
Di Malaysia Reza Group mempunyai anak syarikat bernama Lionhorn iaitu syarikat yang pegang lesen untuk McDonald’s Malaysia. Sesiapa yang hendak buka francais McD di Malaysia perlulah mendapat lesen dari McD Malaysia ini.
 
Urusan perniagaan francais selain ditetapkan oleh syarikat induk, juga tertakluk kepada undang-undang atau sistem yang diamalkan di negara di mana ia beroperasi. Contohnya, McD di Malaysia membayar cukai kepada kerajaan Malaysia, membayar zakat, membuat sumbangan kepada masyarakat di Malaysia dan sebagainya.
 
McDonald’s Corparation tidak boleh campur tangan urusan pengurusan syarikat di Malaysia, melainkan dalam soal yang telah ditetapkan dalam perjanjian francais. Keuntungan perniagaan menjadi hak sepenuhnya syarikat di Malaysia. Begitu juga kerugian ditanggung sendiri pemilik francais di Malaysia. Syarikat induk hanya menerima royalti.
 
Kalau operasi syarikat McD di Malaysia merosot, yang ruginya syarikat di Malaysia. Banyak yang hilang pekerjaan sama ada secara langsung atau tidak. Jika syarikat rugi, tentukan sekali tidak akan membayar cukai kepada kerajaan Malaysia dan tidak membayar zakat kepada orang Islam di Malaysia yang amat memerlukan bantuan.
 
Sedangkan McDonald’s Corparation tidak tanggung kerugian operasi, hanya tidak mendapat bayaran royalti. Sebab itu, operasi McDonald’s Corparation tidak terjejas dengan apa yang berlaku di sesebuah negara, melainkan jika ia melibatkan semua negara di seluruh dunia.

No comments:

Post a Comment