Sunday 10 December 2023

BURAQOIL STESEN MINYAK MINI LUAR BANDAR

 
Buraqoil adalah jenama stesen minyak mini luar bandar yang mempunyai 180 stesen minyak di 9 buah negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Buraq Oil adalah Stesyen Minyak yang dimiliki oleh IPTB Sdn Bhd.

Buraqoil menjalankan perniagaannya menggunakan lesen mengedar dan memasar bahan api petrol dan diesel yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dibawah Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Pernah dibekukan lesennya pada 2007 oleh KPDNHEP akibat ketirisan jualan bahan api bersubsidi oleh pengusaha yang tidak jujur, ia kini dibuka semula sejak 2014 demi membantu para pengusaha yang berminat dalam industri peruncitan bahan api. Peluang perniagaan yang boleh dikatakan memberi pulangan yang lumayan.

Stesen-stesen mini ini asasnya memang sama macam stesen minyak yang lain. Cuma ia mempunyai skala saiz yang lebih kecil dari segi modal, tapak perniagaan dan ditempatkan di kawasan-kawasan luar bandar atau pedalaman bagi memudahkan penduduk luar bandar seperti petani atau nelayan mendapatkan bahan api.

Ia lebih kepada sistem francais bagi perniagaan peruncitan bahan api. Ia boleh juga dikatakan sebagai penjenamaan semula jenama syarikat-syarikat minyak besar seperti Petronas misalnya yang bertindak membekal produk-produk dengan jenama baru.

Jadi janganlah risau akan kualiti bahan api yang dibekalkan. Harga pun sama macam bahan api yang dijual di kawasan bandar.

Ada stesen minyak mini yang teramatlah cantik, tak kurang yang rupanya macam kedai runcit tengah ladang kelapa sawit dan ada juga dalam proses penjenamaan semula. Industri yang mendapat sokongan kerajaan ini dah tentu masa depannya cerah.

Walaupun tidak setanding dengan kemampuan pengusaha stesen minyak berjenama di bandar-bandar utama, kewujudan stesen-stesen mini ini bagaimanapun menjadi pelengkap kepada keperluan penduduk luar bandar dalam menikmati kemudahan bekalan petrol dan diesel bersubsidi seperti di bandar besar.

No comments:

Post a Comment