Pada era
pemerintah Qusai bin Kilab, beliau telah mengumpul harta yang halal dan
meruntuhkan Kaabah untuk dibina semula dengan satu binaan baharu yang tidak
pernah dibuat oleh orang sebelumnya.
Tinggi binaannya berukuran berukuran 25 hasta dan ia mempunyai atap daripada batang kayu ‘Dum’ (seperti batang nibung dan besar seperti batang kelapa) yang kukuh dan pelapah tamar. Asasnya masih seperti binaan Nabi Ibrahim.
Semasa pembinaan ini, Hajarulaswad telah hilang dan tidak ada sesiapa yang mengetahui tempat ia berada. Setelah disiasat, Qusai diberitahu tempat bahawa kabilah Iyad semasa dihalau keluar dari Makkah oleh anak-anak Mudhar bin Izar telah mengambilnya dan menanamnya di salah sebuah bukit di Makkah.
Peristiwa ini disaksikan oleh seorang perempuan. Qusai lalu pergi berjumpa dengan perempuan tersebut dan merayu agar beliau menunjukkan tempat tersebut.
Akhirnya Hajarulaswad ditemui kembali lalu disimpan oleh Qusai selama turun-temurun sehinggalah ke zaman Quraisy.
Kata Imam al-Mawardi: “Qusai bin Kilab ialah orang pertama dalam kalangan Quraisy yang membina Kaabah selepas Nabi Ibrahim dan beliau juga merupakan orang yang pertama membina atap Kaabah.”
Pada tahun 591M, Kaabah sekali lagi menghadapi kerosakan. Sebagaimana yang diceritakan, seorang perempuan telah menyalakan api untuk membakar kemenyan bagi mewangikan Kaabah.
Tiba-tiba bara api yang dibakarnya telah tercampak atau terpercik mengenai kelambu Kaabah dan menyebabkan berlakunya kebakaran ke atas Kaabah yang menyebabkan binaannya menjadi tidak kuat lagi.
Selepas itu, berlaku pula banjir yang melanda Kaabah yang menyebabkan berlaku keruntuhan pada sebahagian Kaabah.
Selepas berlakunya peristiwa itu, para pemimpin Quraisy telah bermesyuarat untuk membina semula Kaabah yang telah runtuh sebahagiannya. Kebetulan pada masa yang sama, sebuah kapal dagang kepunyaan saudagar Rom telah pecah di lautan Jeddah.
Bersama mereka ada seorang tukang kayu yang mahir bernama Yaqum. Quraisy telah membeli kayu dari kapal tersebut untuk dijadikan binaan atap dan tiang Kaabah.
Pihak Quraisy telah berazam untuk meruntuhkan semua binaan yang tinggal dan membinanya semula dengan asas yang baharu kerana asas yang dibina oleh Nabi Ibrahim telah terlalu lama.
Menurut al-Sinjari jarak masa antara binaan Nabi Ibrahim dengan binaan Quraisy ialah 2645 tahun.
Di dalam Kaabah, terdapat sebuah telaga yang di dalamnya tersimpan harta-harta yang dihadiahkan kepada Kaabah.
Dalam telaga itu, ada seekor ular berbisa yang berwarna hitam di atas belakangnya, putih di bawah perutnya dan berkepala seperti kepala seekor kambing.
Ular ini telah berada di situ selama lima ratus tahun iaitu sejak zaman Jurhum lagi. Ular tersebut bertindak sebagai pengawal harta Kaabah kerana banyak berlaku kecurian ke atas harta Kaabah pada waktu itu.
Ketika kaum Quraisy berada dalam ketakutan untuk meruntuhkan Kaabah, ular itu sentiasa keluar menzahirkan dirinya.
Oleh itu, mereka pun berkumpul di Makam Ibrahim dan salah seorang pemimpin Quraisy bernama al-Walid bin al-Mughirah telah menyampaikan khutbah kepada kaumnya.
“Bukankah kamu semua mahukan kebaikan untuk membina Kaabah” Mereka menjawab: “ya!”
Kata al-Walid: “Allah tidak akan membinasakan orang yang ingin melakukan kebaikan. Tetapi ingatlah, jangan sekali-kali kamu memasukkan perbelanjaan untuk membina rumah Tuhan kamu ini kecuali harta yang baik hasil usaha kamu. Jangan kamu masukkan harta riba, judi, pelacuran dan semua yang tidak baik dari harta kamu kerana sesungguhnya Allah tidak menerima kecuali harta yang baik.”
Kemudian mereka pun berdoa: “Wahai Tuhan, sekiranya apa yang kami lakukan ini mendapat keredaan Engkau maka jauhkanlah ular ini daripada kami.”
Selepas itu datang seekor burung dari langit menuju ke arah ular yang sedang berada di atas dinding Kaabah dan menyambar kepalanya serta mencampaknya ke arah kawasan Jiyad.
Namun, perasaan takut akan dimurka dan ditimpa azab oleh Allah masih menebal dalam diri mereka sehingga al-Walid sekali lagi berkata: “Aku akan mula meruntuhkannya. Aku telah tua. Sekiranya aku mati maka ia disebabkan ajal yang sudah tiba.”
Beliau pun mengambil pemukul dan mula meruntuhkannya. Tetapi dengan tiba-tiba batu di bawah kakinya bergerak. Lantas beliau pun berdoa: “Wahai Tuhan, janganlah engkau menakuti kami, sesungguhnya kami ingin membaikinya dan kami tidak melakukannya kecuali untuk kebaikan.”
Kemudian beliau terus meruntuhkan Kaabah di bahagian dua rukun pada hari itu. Manakala orang lain hanya memerhatikan sahaja dan tidak menyertainya, bahkan mereka terus menunggu apakah akibat yang akan menimpa ke atas al-Walid pada hari itu.
Setelah tidak ada apa-apa yang berlaku, pada keesokan harinya ramailah yang bersama-sama meruntuhkan binaan Kaabah yang masih tinggal, sehingga sampai kepada asas yang dibina oleh Nabi Ibrahim yang berupa sebuah batu besar yang berwarna hijau yang berbentuk bonggol-bonggol unta. Untuk mengangkat seketul batu tersebut, memerlukan 30 orang lelaki.
Al-Walid pun memasukkan cangkulnya di celah dua batu lalu menggoncangkannya hingga tercabut seketul batu dan dengan pantas Abu Wahab al-Makhzumi cuba mengambilnya tetapi batu itu terlepas dari tangannya dan terus kembali ke tempat asalnya.
Tiba-tiba suatu cahaya seperti kilat terpancar dari bawah batu tersebut dan bumi Makkah terus bergoncang. Mereka serta-merta berhenti memecahkan batu tersebut dan menjenguk ke bawahnya mereka dapati asas Kaabah terletak di situ.
Setelah itu, mereka pun mengumpulkan bahan binaan asal lalu mengeluarkan harta yang mereka kumpul untuk membina Kaabah tetapi ia tidak mencukupi untuk membiayai pembinaannya mengikut binaan asal.
Oleh itu mereka pun berbincang dan membuat keputusan akan membina mengikut kadar perbelanjaan yang mereka mampu dengan mengecilkan binaan asal Kaabah sepanjang enam hasta sejengkal (3 meter) di bahagian Hijr Ismail. Ia ditanda dengan lingkungan separa bulatan supaya orang ramai melakukan tawaf di bahagian belakangnya sahaja. Tempat ini dikenali dengan nama “Hijr Ismail” atau “Hatim”.
Mereka menambah ketinggiannya sebanyak sembilan hasta menjadi 18 hasta, dan membina siap dengan enam batang tiang. Pintunya pula dijadikan satu sahaja dan diangkat untuk menahan daripada dimasuki air ketika banjir dan untuk mengawalnya daripada dimasuki oleh orang yang mereka tidak sukai.
Semasa pembinaan ini, Rasulullah SAW menyertainya dengan mengangkat batu bata untuk binaan Kaabah. Pada waktu itu, Rasulullah SAW berumur 35 tahun. Setiap kabilah diberikan satu bahagian daripada penjuru Kaabah.
Apabila tiba masa untuk meletakkan Hajarulaswad, mereka mula berbantah. Setiap kabilah mendakwa mereka lebih berhak meletakkannya sehingga sebahagiannya bersumpah untuk berperang sekiranya mereka tidak dapat meletakkannya.
Bani ‘Abd al-Dar telah membawa satu bekas darah dan mereka bersumpah bersama Bani ‘Adi akan mepertahankannya shingga mati. Darah itu dinamakan “La’aqah al-Dam”. Puak Quraisy menangguhkan pembinaan selama empat atau lima hari. Kemudian mereka berkumpul di masjid dan bermesyuarat.
Orang yang paling tua dalam kalangan Quraisy iaitu Abu Umayyah Huzaifah bin al-Mughirah al-Makhzumi berkata: “Orang yang akan memutuskan perkara ini ialah orang yang pertama memasuki masjid dari pintu Bani Syaibah.” (Ia salah satu pintu Masjidilharam di kawasan rumah orang Quraisy, terletak di belakang Makam Ibrahim.
Mereka pun bersetuju di atas perkara tersebut. Orang yang pertama memasuki pintu tersebut ialah Rasulullah s.a.w. Setelah melihatnya mereka pun bersetuju untuk menjadikan Baginda hakim dan mereka memberitahu masalah tersebut kepada Nabi SAW yang pada ketika itu berumur 35 tahun, dan terkenal dengan gelaran “al-Amin”.
Rasulullah SAW mengambil sehelai kain dan meletakkan Hajarulaswad di atasnya. Kemudian Baginda mengarahkan setiap kabilah melantik seorang wakil untuk mengangkatnya hingga ke tempatnya. Lalu Rasulullah SAW mengambilnya dengan tangannya yang mulia dan meletakkan Hajarulaswad di tempatnya.
Dalam al-Rahiq al-Makhtum disebutkan: “Kaabah yang dibina oleh Quraisy adalah berbentuk empat persegi, tingginya 15 meter, lebar di bahagian Hajarulaswad dan yang bertentangan dengannya 10 meter.
Hajarulaswad tingginya dari lantai 1.50 meter, bahagian pintu dan yang bertentangan dengannya 12 meter. Tinggi pintunya dari lantai 2 meter, dilingkungi tapak bawahnya dengan binaannya dengan batu setinggi 0.25 meter dan lebarnya 0.30 meter dan dinamakan dengan Shazarwan, ia dari tapak asal (binaaan Nabi Ibrahim) tetapi Quraisy mengeluarkannya kerana kekurangan nafkah.”
No comments:
Post a Comment