Thursday, 29 December 2016

Cara hayati kemerdekaan

Cara hayati kemerdekaan. Rakyat Malaysia diseru supaya menghayati pengertian sebenar Hari Kebangsaan, iaitu mengenai semangat cintakan negara dan bukannya tentang sama ada seseorang itu menyokong kerajaan atau pembangkang.

Rakyat Malaysia perlu bersatu atas semangat perpaduan walaupun terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan fahaman politik.

Kita mungkin tidak sependapat dalam politik tetapi di situlah percanggahan pendapat kita harus berakhir. Kita tidak harus melebarkan lagi jurang perselisihan dan mewujudkan dua kelompok rakyat Malaysia.

Kita kata kita rakyat Malaysia. Kita kata kita setia kepada negara kita. Kita kata kita sedia berkorban untuk negara. Kita mengaku dan mendakwa diri sebagai pejuang. Kita sanggup bersusah payah demi satu perjuangan.

Tetapi kita tidak bersedia untuk mengorbankan perbezaan politik hanya untuk sehari demi bersama-sama sebagai rakyat Malaysia yang bersatu merayakan Hari Kebangsaan.

Dalam sukan, rakyat Malaysia nampaknya boleh mengenepikan perbezaan etnik atas nama nasionalisme dan dapat mendukung semangat Malaysia, dan ia adalah semangat sama yang didukung bagi menyambut Hari Kebangsaan.

Marilah seluruh rakyat Malaysia mengembalikan semangat Hari Kebangsaan seperti sebelum ini, dan tidak menjadikan sambutan itu sebagai platform politik. Ingatlah, dalam peperangan pun ada genjatan senjata, tetapi mengapa politik kepartian berjalan tanpa sempadan masa sehingga mengganggu urusan kehidupan seharian.

Ini kerana sambutan Hari Kebangsaan berkisar kepada semangat cintakan negara dan bukannya membenci satu sama lain hanya kerana perbezaan politik. 

Ia berkaitan perpaduan dan semangat kekitaan seluruh warganegara.

Perpecahan satu petanda tidak baik kepada negara dan rakyat. Keadaan negara yang tidak aman akan menyebabkan pelabur tidak datang menanam modal di negara kita. Hal ini memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.

Politik itu perlu untuk menyuburkan demokrasi, tetapi ia perlu dihadkan kepada menyampaikan ideologi serta pendekatan pemerintahan yang digunapakai untuk menarik sokongan pengundi.  

Tetapi, jika berpolitik sehingga menyebabkan perpecahan dan keruntuhan keamanan negara, itu satu perbuatan melampau dan boleh dianggap sebagai petualang negara. 

Gambaran politik tidak sihat di Malaysia di luar negara menyebabkan pelabur tidak tertarik datang ke negara kita. Begitu juga dengan pelancong. Mereka ingin mencari destinasi yang selamat dan aman.

Tindakan mengadakan demostrasi dan gerakan menjatuhkan kerajaan memberi kesan negatif terhadap Malaysia oleh masyarakat antarabangsa. Bersatulah dan bersama menghayati semangat Sejati Sejiwa.

No comments:

Post a Comment