Thursday, 29 December 2016

Melayu jadi bangsat jika hilang kuasa

Orang Melayu akan bangsat jika hilang kuasa. Itu hakikat perlu diakui bangsa Melayu sendiri. Ramalan ini bukan untuk menakutkan bangsa Melayu. Itu bakal benar-benar berlaku. Justeru itu, bangsa Melayu mesti terus berkuasa. Jangan biarkan kuasa pemerintahan yang dipegang sekarang diserahkan kepada bangsa lain. Ini bukan soal rasis atau perkauman. 

Mana-mana kaum jika berpeluang pasti ingin menjadi penguasa atau pemerintah. Bahkan dalam konteks di Malaysia yang berbilang kaum, ada kaum yang biarpun jumlahnya sedikit atau tidak menjadi majoriti masih beriya-iya hendak menguasai kerusi pemerintah, biarpun dengan cara proksi.

Jika Melayu hilang kuasa, nasibnya akan sama seperti dialami Melayu Singapura. 
Jika Melayu hilang kuasa, peluang untuk terus membina kekuatan ekonomi akan terbantut. Bayangkan, biarpun dibantu dan beri pelbagai kemudahan untuk memperkukuhkan ekonomi dan sosial, bangsa Melayu sekarang masih ketinggalan berbanding bangsa lain. 

Bayangkan apa yang akan berlaku jika Melayu hilang kuasa. Tiada lagi bantuan dan keistimewaan untuk orang Melayu. Jangan fikir perkara ini remah kerana lemah Melayu, bererti juga hancur Islam di Malaysia. Kekuatan Islam di Malaysia kerana kekuatan dan kuasa orang Melayu. 

Kita tidak nafikan sumbangan orang Islam dari kalangan bukan Melayu. Mereka juga memberi sumbangan besar. Namun, apa yang mereka mampu lakukan itu juga hasil perancangan dan kuasa orang Melayu yang memperjuangkan Islam.

Kedudukan dan kuasa orang Melayu di Malaysia yang mendokong Islam mendapat perhatian seluruh dunia. Orang Islam di Malaysia mendapat penghormatan tinggi di luar negara.

Apa yang mampu dilakukan oleh Islam di Malaysia, sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa sering dicemburi oleh musuh Islam. Justeru itu, ada saja usaha buruk dilakukan pihak luar untuk meruntuhkan kekuatan Melayu.

Serangan terhadap kepimpinan Melayu dilakukan agar orang Melayu lemah. Mereka ingin Malaysia diperintah oleh Melayu yang tunduk dan ikut perintah mereka. Melayu yang sanggup jadi barua kepada bukan Islam.

Maka itu, orang Melayu wajib mempertahankan parti yang menerajui kepimpinan negara itu. Seandainya Melayu hilang kuasa, apa akan terjadi kepada bangsa Melayu dan umat Islam pada masa depan?

Kalau Melayu ada masalah, cari penyelesaian, sama ada peringkat nasional, peringkat negeri, takkan tidak ada penyelesaian. Ajaran Islam mengajar kita agar bersatu dan taatkan pemimpin. 

Orang Melayu mesti mengukuhkan kedudukan mereka sebagai kuasa dominan di negara ini atau berisiko menjadi orang asal negara maju seperti di Amerika Syarikat dan New Zealand.

Jangan Melayu jadi macam ‘Red Indian’ yang cuma tinggal sejarah, atau Maori yang ada muzium dan nama, tapi tidak ada kuasa.

Ini tanah kita. Betul, kita kena kongsi tetapi induk akar umbi kita mesti menjadi tonggak kuasa.
Orang Melayu kini berpecah-belah menyebabkan mereka terus dihina dan dipermainkan oleh kaum lain.

Kita menghormati bangsa dan agama lain, tetapi bagaimana kalau mereka tidak menghormati kita?

Itu salah kita, kelemahan kita. kita tidak bersatu dan tidak menghormati sesama kita sendiri. Menjadi tanggungjawab setiap orang Melayu bangun dan mempertahankan agama dan bangsa daripada cubaan menghapuskan hak mereka.

Kita tidak mahu nasib Melayu di Singapura, hilang kuasa dan lemah kedudukan ekonomi. Biarpun ada orang Melayu Singapura cuba menafikan keadaan ini dengan menyebut taraf kehidupan mereka lebih tinggi berbanding saudara sebangsa seagamanya di Malaysia.

Hakikatnya Melayu Singapura yang pernah berkuasa kini menjadi minoriti kecil yang pandangannya tidak perlu diambil berat oleh pemerintah.

Dalam perlembagaan Singapura ada menyebut tentang kedudukan Melayu yang dilindungi, namun sekadar satu ilusi. Hakikat sebenarnya berlaku sebaliknya.

Perhatikan Artikel 152 bahagian (2) yang menyebut “The Government shall exercise its functions in such manner as to recognise the special position of the Malays, who are the indigenous people of Singapore, and accordingly it shall be the responsibility of the Government to protect, safeguard, foster and promote their political, education, religious, economic, social and cultural interest and the Malay language.”

Terjemahan penulis: “Kerajaan akan menjalankan fungsi-fungsinya dengan cara yang sepatutnya untuk mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu, yang merupakan penduduk asal Singapura, maka dengan itu adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk melindungi, menjaga keselamatan, menggalakkan dan mempromosi kepentingan politik, pendidikan, keagamaan, ekonomi, sosial dan kebudayaan mereka dan bahasa Melayu.”

Perhatikan juga Artikel 153 bahagian (2) yang menyebut “The national language shall be the Malay language and shall be in the Roman script.”

Walaupun bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris turut diiktiraf sebagai antara empat bahasa rasmi di Singapura, bukankah ini cukup untuk menunjukkan keutamaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan walaupun cuma dipakai dalam tulisan Rumi, bukannya Jawi? 

Isi Artikel 152 dan 153 perlembagaan Singapura ini hampir membayangkan aspirasi yang termuat dalam Artikel atau Perkara 152 dan 153 perlembagaan Malaysia, mungkin akibat Singapura pernah berada di dalam Malaysia 1963-1965.

Perbezaan besar cuma terletak pada kedudukan orang Melayu sebagai minoriti di Singapura berbanding saudara-mara mereka yang merupakan majoriti di Malaysia.

Selain itu Melayu Singapura juga tidak memiliki satu institusi pelindung tertinggi seperti jabatan Yang dipertuan Agong dan Raja-raja Melayu yang kedudukan mereka turut diperuntukkan di dalam perlembagaan Malaysia sebagai memiliki hak penuh dalam menjaga hal-ehwal agama Islam dan adat-istiadat Melayu. 

Namun isi perlembagaan Singapura itu cukup jelas. Orang Melayu di pulau itu sepatutnya turut mendapat keistimewaan serupa seperti di Malaysia.

Menarik juga difikirkan apabila ada puak chauvinis berbangsa Cina di Malaysia sibuk cuba menjatuhkan kedudukan orang Melayu dengan menuduh kita sebagai pendatang konon, bukan penduduk asal Tanah Melayu.

Walhal pada perlembagaan Singapura sendiri, sebuah negara yang sudah lama dipimpin puak chauvinis Cina terdapat kenyataan yang menyebut bahawa orang Melayu adalah penduduk asal pulau Singapura.

Artikel 152 Perlembagaan Singapura mungkin bercakap tentang melindungi hak orang Melayu. Tetapi hakikatnya mereka cuma satu minoriti dari pelbagai bangsa yang didominasi bangsa Cina.

Keadaan orang Melayu di Singapura hampir sama dengan kaum Red Indian di Amerika Syarikat, kawasan tempat tinggal utama mereka dahulukala misalnya di Kampung Gelam dan sekitar Masjid Sultan dipertontonkan sebagai satu warisan untuk tarikan pelancong.

Perlindungan apa jika bekas istana Sultan dijadikan muzium? Kenapa tidak dipertahankan sebagai satu pusat kepimpinan orang Melayu? 

Mungkin pemerintah Singapura mahu mengambil contoh dari keadaan di seberang Tambak Johor di mana Istana Besar Johor yang mula dibina 1864 sebelum siap 1866 dijadikan Muzium Diraja Abu Bakar 1982. Tapi itu dengan perkenan Sultan Johor yang memiliki beberapa istana lain. Istana Kampung Gelam di Singapura yang kini menjadi muzium adalah satu-satunya warisan kepimpinan orang Melayu yang tinggal di pulau itu.

Jika pusat kepimpinan yang merupakan istana milik Sultan Hussain Shah pada zaman kedatangan Raffles 1820an telah dijadikan bahan tontonan umum tanpa diberikan ganti serupa taraf yang dapat menyatukan orang Melayu, apakah yang dipraktikkan dari Artikel 152?

No comments:

Post a Comment