Monday 4 November 2019

DAKWAH NABI PENUH RANJAU

Seruan dakwah Nabi Muhammad berdepan dengan penuh ranjau. Baginda berdepan cabaran masyarakat rosak akhlak dan peradabab. Masyarakat jahiliyah Makkah bukan sekadar menyembah berhala, tetapi mengamalkan cara hidup berpuak-puak, penindasan terhadap wanita, berwatak kasar, percaya perkara karut, membunuh anak dan suka berperang.

Kelahiran Rasulullah membawa sinar mengubah kehidupan masyarakat jahiliyah Makkah. Ketika usia remaja, Rasulullah mempamerkan pekerti amat mulia. Semua penduduk mengagumi dan menyanjung pekerti Rasulullah sehingga digelar al-Amin.  

Penduduk Makkah memberi penghormatan tertinggi apabila baginda diberikan tanggungjawab menyelesaikan pertikaian siapakah paling layak meletakkan kembali Hajarul Aswad di tempatnya. Penghormatan itu bermakna Rasulullah paling dipercayai, dihormati dan adil. Ketika itu baginda belum dilantik menjadi rasul.   

Bagaimanapun, selepas Nabi Muhammad mengajak kaumnya mentauhidkan Allah, perkara sebalik berlaku. Baginda mula dimusihi oleh orang yang sebelum itu amat sayang dan menghormatinya. 

Baginda bernasib baik mendapat kekuatan hasil sokongan isteri tersayang, Khadijah binti Khuwailid. Khadijah sentiasa mengiyakan dan menyokong setiap usaha Rasulullah. Malah, Khadijah bertanggungjawab menyakinkan bahawa baginda telah dilantik menjadi Rasul akhir zaman ketika mula menerima wahyu di Gua Hira.

Keyakinan Khadijah tentang kerasulan suaminya berdasarkan kepada apa diberitahu sepupunya, Warakah bin Naufal, ulama yang berpegang kepada kitab-kitab diturunkan kepada nabi terdahulu. Dalam kitab terdahulu ada menyebut tentang kelahiran ‘Muhammad” sebagai nabi terakhir. 

Rasulullah anak yatim piatu dan tidak mempunyai adik beradik. Baginda menumpang kasih bapa saudaranya Abu Talib sejak berusia enam tahun. Abu Talib memberi sumbangan paling besar ketika Islam mula disebarkan, biarpun dirinya sendiri tidak memeluk Islam.

Abu Talib mempunyai kedudukan baik di kalangan masyarakat Makkah. Jadi, apabila mengenangkan Rasulullah dilindungi dan mendapat sokongan Abu Talib, orang ramai tidak mampu bertindak sesuka hati terhadap baginda.

Musyrikin Makkah pernah berjumpa Abu Talib agar menasihatkan Rasulullah meninggalkan tugas menyebarkan agama tauhid. Namun, nasihat Abu Talib itu dijawab Rasulullah dengan keyakinan tidak berbelah bagi.

“Demi Allah!  Wahai bapa saudaraku. Sekiranya mereka meletakkan matahari di sebelah tangan kananku dan bulan di sebelah tangan kiriku supaya pekerjaan ini kutinggalkan, nescaya aku tidak meninggalkannya sehingga sampai ia dimenangkan Allah atau binasa aku sebelum itu.”

Jawapan diberikan Rasulullah memberikan keyakinan kepada Abu Talib bahawa tidak ada siapapun dapat menghalang atau mengubah niat baginda. Lantas, Abu Talib memberi sepenuh sokongan dan bersedia mempertahankan apa sahaja usaha dilakukan anak saudaranya.

Rasulullah berdepan laluan sukar apabila Abu Talib dan Khadijah meninggal dunia pada tahun kesembilan selepas diangkat menjadi rasul. 

Memikirkan ancaman semakin meningkat, Rasulullah mengambil keputusan meninggalkan Makkah menuju ke Taif agar dapat menyebar agama tauhid di sana, namun tidak berjaya. 

Rasulullah kembali ke Makkah dan meneruskan seruan biarpun berdepan dengan ancaman lebih gentir. Sesiapa memeluk Islam berdepan pelbagai penderitaan berbentuk penyiksaan sehingga ada meninggal dunia. 

Ketika penentangan memuncak di kalangan penduduk Makkah, terdapat penduduk dari Madinah hadir mengerjakan ibadat haji (berdasarkan amalan tradisi) di Kaabah menerima ajaran Islam dan memeluknya. Mereka mempelawa Rasulullah agar menyebarkan Islam di Madinah yang diyakini ramai akan memeluknya.

Setelah berhijrah ke Madinah dakwah islamiah berkembang dengan pesat. Kekuatan Islam bukan sekadar bertambah dari segi bilangan penganut, tetapi memperlihatkan kuasa yang berupaya menyaingi kuasa kabilah dan puak di sekeliling Madinah.

Pembukaan Makkah pada tahun kelapan Hijrah menjadi lambang kejayaan dakwah Islam. Masyarakat Arab lebih yakin menerima syiar Islam setelah kaum Quraisy yang dianggap paling berpengaruh di tanah Arab telah menerima Islam. 

Pada tahun kesepuluh Hijrah, hampir seluruh penduduk di tanah Arab berada di bawah panji-panji Islam.  Seruan dakwah berkembang pesat. Beberapa kuasa besar mula menerima pengaruh Islam, walaupun ada pada peringkat awal menolaknya.

Perluasan Islam dakwah bukan dilakukan dengan kekejaman atau menggunakan tipu muslihat. Rasulullah menghantar wakil secara baik kepada ketua kerajaan mengajak agar memeluk Islam atau membenarkan Islam disebarkan. 

Jika ketua kerajaan tidak mahu menganut Islam, dia bebas berbuat demikian, tetapi mesti membenarkan pendakwah Islam menyebarkan Islam di kalangan rakyat, agar rakyat sendiri menentukan sama ada ingin menerima atau menolaknya. 

Islam tidak memaksa sesiapa memeluk Islam kerana tiada paksaan dalam beragama. Firman Allah bermaksud: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya sudah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).” - (Surah al-Baqarah, ayat 256). 

Jika ketua kerajaan menolak kehadiran pendakwah Islam ke wilayah pemerintahannya, maka baru kaedah perluasan secara ketenteraan dilakukan. Namun, rakyat ditakluk tidak dipaksa menerima Islam. Kerajaan Islam hanya ingin hak kebebasan berdakwah dan bukan memaksa orang menerimanya.    

No comments:

Post a Comment