Kita terlalu banyak memikirkan apa yang
berada di luar kita. Ramai orang menginginkan orang lain berubah.
Malah, kadang-kadang kita berkeinginan tetapi
tidak kesampaian. Kita mahu negara kita berubah. Kita mahu orang berubah, kita
bercita-cita mahu ubah pekerja kita tetapi malangnya anak isteri kita tidak
mampAu diubah.
Kenapa kita tidak mampu mengubah orang lain?
Antara sebabnya kita tidak pernah memberi masa bersungguh-sungguh untuk
mengubah diri sendiri.
Rahsia mengubah orang ialah dengan mengubah
diri sendiri. Betapa besar pun hasrat untuk mengubah orang lain sekiranya tidak
dimulakan dengan diri sendiri ia akan menjadi hampa.
Kadangkala hasrat untuk mengubah orang lain
akan menjadi bahan ketawa. Orang di sekeliling kita akan menyaksikan cakap
tidak serupa bikin yang kita laungkan.
Sebagai perbandingan elok juga kita fikirkan
perbandingan ini. Kalau kita hendak membina rumah apalah ertinya kita
memikirkan dinding, pintu dan atap sekiranya tapak tidak kita bina.
“Mulakan dengan dirimu,” kata pepatah Arab.
Inilah kunci orang yang berjaya. Berani mengejek itu mudah, berani berhujah itu
mudah tetapi tidak ramai orang yang berani melihat kekurangan diri sendiri.
Ramai orang berani melihat kekurangan orang
tetapi jarang orang berani membincangkan kelemahan diri sendiri.
Sebenarnya mengubah diri dengan penuh sedar
adalah juga mengubah orang lain. Walaupun tidak sepatah kata kita ucapkan untuk
ubah orang lain, perbuatannya yang berubah itu menjadi ucapan yang sangat
bererti bagi orang lain.
Memang pengaruh dari kegigihan mengubah diri
tidak akan spontan dirasakan. Tetapi percayalah ia akan membekas dalam minda
orang lain.
Makin lama orang akan simpati dan terdorong
juga untuk turut sama berubah. Lantas bagaimana kaedah mengubah diri?
Pertama: Mulalah dengan mengubah diri
sendiri. Bagaimana mungkin kita mengajak orang berubah sedangkan kita tidak
berubah. Jadilah seperti 'ketam mengajar anak berjalan betul' nanti cakap tidak
serupa bikin.
Kedua: Mulakan dengan melakukan perkara yang
kecil. Perkara yang kecil-kecil jika dilazimi akan membantu dan memudahkan
untuk melakukan yang besar-besar. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.
Perkara yang kecil jika sering diabaikan
nanti berjangkit yang besar pun akan mudah diingkari. Banjir besar diawali
dengan titik-titik hujan yang kecil.
Ketiga: Mulakan sekarang (Do it now). Jangan
bertangguh lagi. Semakin bertangguh semakin melarat. Masalah yang kecil-kecil
akan jadi besar jika dibiarkan.
Keempat: Paksa diri dengan sepenuh hati.
Nafsu jika tidak dipaksa nanti jadi degil.
Kelima: Belajar menghukum diri sendiri.
Kalangan sahabat pernah menghukum diri dengan berpuasa kerana mengumpat.
Keenam: Kena ulang dan ulang dan ulang dan
ulang dan ulang kebaikan sehingga sebati dengan diri.
No comments:
Post a Comment