Wednesday 30 December 2020

ANAI-ANAI MEMBINA BUSUT SEBAGAI TEMPAT TINGGAL

Anai-anai tinggal dalam busut secara berkoloni. Kompleks tempat tinggal anai-anai dalam busut memang ‘canggih’ dan lengkap untuk memenuhi keperluan hidup koloni yang terdiri ratu, raja, askar, pekerja dan kelkatu.

Busut dilihat dari luar memang keras dan seperti tanah biasa. Namun, bentuk di dalamnya memberi gambaran satu tempat tinggal yang ‘lengkap’ dan ‘selesa’ untuk anai-anai hidup.

Pada bahagian atas busut, terdapat lapisan luar dinding busut yang terdiri daripada lubang-lubang kecil menuju ke laluan terowong seperti siri serombong.

Pada bahagian bawah busut pula, terdapat lubang besar berbentuk oval. Apabila waktu pagi, udara panas akan terangkat dan keluar melalui lubang-lubang kecil yang tersedia ada, manakala udara sejuk akan tenggelam ke bawah dan masuk ke dalam lubang besar tersebut.

Namun, apabila waktu malam, kitaran berlawanan akan berlaku. Pada keadaan ini, pertukaran oksigen dan karbon dioksida akan berlaku dan secara langsung menghasilkan pengaliran udara yang efisen.

Kita dapat melihat bahawa struktur dan model busut yang dibina oleh anai-anai mampu menyediakan ventilasi udara yang sangat efisen bagi mengekalkan suhu dan keadaan yang baik di dalam busut. Selain itu, busut yang terbina boleh berhubung dengan air bawah tanah.

Busut ada jantan dan betina, tetapi bukan pasangan untuk melahirkan anak. Jenis busut jantan atau busut betina adalah merujuk kepada bentuk busut berkenaan. Busut betina bentuknya agak besar dan bulat bentuknya. Manakala busut jantan pula bentuknya lancip iaitu tirus di bahagian atas.

Sebagai serangga sosial yang hidup secara berorganisasi, setiap jenis anai-anai memainkan peranan yang besar bagi memastikan busut dalam keadaan baik dan penghuni di dalamnya selamat.

Apabila pencerobohan yang mengakibatkan kerosakan pada pusu seperti keretakan mahupun lubang pada pusu berlaku, anai-anai akan mengetukkan kepalanya pada dinding pusu sebagai penggera kecemasan kepada penghuni lain.

Tahukah anda, apabila kecemasan berlaku, larva anai-anai akan dipindahkan ke bahagian yang lebih selamat manakala jalan masuk di mana raja dan ratu tinggal akan disekat dengan membina benteng untuk menutupi laluan masuk tersebut.

Kemudian, kawasan kerosakan akan dikepong oleh askar anai-anai, dan pekerja anai-anai akan mengangkut bahan-bahan untuk membaiki kerosakan pusu.

Apabila kerja pembaikan pulih selesai, anai-anai akan berkelakuan dan bertindak seperti kebiasaan.

Sebenarnya apa yang berlaku itu dapat kita lihat apabila setiap kali kita meruntuhkan pusu, maka akan ‘tumbuh’ pusu baharu di tapat berkenaan.

Sebab itu, untuk memusnahkan anai-anai perlu dilakukan pembongkaran keseluruhan merosakkan tempat tinggal mereka, terutama mencari ratu dan raja yang melahirkan koloni anai-anai itu.

 

No comments:

Post a Comment