Tuesday 16 February 2021

KHASIAT BUAH NANGKA

Dalam filem Lanchang Kuning (1962) ada menceritakan tentang seorang wanita mengandung, Telani lakonan Latifah Omar, mengidam makan buah nangka milik raja. Raja yang mengetahui sebahagian buah nangka telah diambil dan dimakan Telani tersebut telah murka. Sebagai hukuman, Telani dijatuhi hukuman digilis kapal Lancang Kuning ketika pelancaran kapal tersebut.

Buah nangka memang telah lama tumbuh di negara kita dan menjadi pokok yang ditanam di laman rumah atau kebun. Buah nangka amat rapat atau diminati sejak dahulu di kalangan penduduk negara kita. Ada pepatah; siapa makan nangka dia terkena getahnya.

Buah nangka bukan sahaja sedap dimakan, bahkan kaya khasiat. Buah nangka mengandungi vitamin dan mineral yang cukup tinggi malah lebih daripada epal, pisang dan avokado. Itu belum lagi kandungan folat, niasin, riboflavin, kalium dan magnesium.

Tidak hanya itu, karotenoid atau pigmen yang memberi warna kuning pada nangka turut kaya dengan vitamin A. Karotenoid berfungsi melindungi sel daripada rosak serta membantu tubuh berfungsi dengan lebih baik.

Semua kelebihan yang terdapat pada buah ini, membantu mencegah penyakit seperti barah, penyakit jantung serta masalah mata seperti katarak dan degenerasi makula. Semakin ranum nangka, kadar karotenoidnya juga akan meningkat.

Buah nangka memiliki kandungan kalium yang sangat berkesan untuk menurunkan tekanan darah sekaligus dapat mengurangi risiko terkena penyakit jantung.

Kandungan vitamin C yang tinggi di dalam nangka dapat membantu melindungi kulit anda daripada rosak akibat terdedah kepada cahaya matahari.

Buah nangka juga kaya magnesium, dapat membuatkan tulang menjadi kuat dan menjaga kesihatannya. Sehingga ia dapat membantu mengawal masalah tulang seperti osteoporosis.

Gabungan potassium, serat dan antioksidan yang terdapat dalam nangka sangat bermanfaat bagi kesihatan jantung. Kandungan potassium dalam nangka lebih tinggi berbanding buah-buahan lain.

Namun diingatkan, kepada pengidap kegagalan fungsi buah pinggang perlu mengelak memakan buah nangka atau mengurangkan pengambilannya. Ini kerana untuk mengelak potassium yang tinggi dalam badan sehingga boleh mengakibatkan hiperkalemia disebabkan buah pinggang gagal mengawal kandungannya.

No comments:

Post a Comment