Tuesday 4 January 2022

CARA PILIH BENDI MUDA

Bendi terbaik untuk dibuat ulam mahupun dijadikan sayur adalah bendi yang masih muda. Bendi muda rasanya lembut dan mudah dimakan.

Sedangkan bendi tua biarpun nampak besar dan elok, sebenarnya tidak lagi sesuai dimakan. Isinya keras dan berserabut.

Bagi mereka yang pakar mengenai buah bendi sudah tentu tidak sukar untuk mengenal pasti mana bendi muda dan mana pula sudah tua.

Bagi mereka yang tidak pakar atau arif mengenai keadaan buah bendi, biasanya akan mematahkan pada hujung buah bendi untuk menentukan sama ada buah itu muda atau sudah tua.

Kalau mudah dipatahkan dan terputus, itu tandanya buah itu masih muda dan sesuai dijadikan sayur atau dibuat ulam.

Jika sukar dipatahkan dan tidak putus, itu tandanya sudah tua.

Perbuatan mematahkan hujung buah biasanya tidak disenangi penjual. Buah akan nampak tidak elok dan cepat rosak.

Jadi, bagaimana cara yang mudah tanpa perlu mematahkan?

Caranya mudah sahaja. Ia dapat dikenali dengan melihat bahagian tangkai yang dipotong.

Hujung tangkai yang tidak berlubang, itu tandanya buah masih muda. Sedangkan jika hujung tangkai ada lubang atau rongga, itu tandanya buah itu telah tua.

Mudahkan cara hendak tahu buah bendi sama ada masih muda atau sudah tua.

Semoga perkongsian itu bermanfaat. Konsikan pautan ini untuk lebih banyak orang mendapat manfaatnya.

No comments:

Post a Comment