Saturday, 15 April 2023

TUGU KERIS RUMAH PAM KEMUBU

 
Sebuah tubu keris dengan ketinggian lebih kurang lima meter yang terdapat di hadapan Rumah Pam Kemubu di Kampung Kemubu, menjadi mercu tanda di kawasan berkenaan. Tidak pasti bila tugu keris itu dibina, tetapi pada tahun 2008 ia sudah wujud di situ.
 
Tidak banyak orang tahu mengenai tugu keris itu. Ini kerana ia terletak di kawasan yang jarang dilalui orang luar. Hanya penduduk kampung dan orang yang berurusan di Rumah Pam Kemubu yang tahu kewujudannya. Tambahan lagi ia hanya sebuah tugu yang dianggap biasa.
 
Pun begitu, bagi mereka yang memahami erti “keris” dalam sejarah peradaban Melayu tentu sekali bangga dengan usaha yang dilakukan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) membina tugu tersebut.
 
Keris adalah senjata orang Melayu dahulu. Sejarahnya terukir dalam lipatan sejarah perjuangan pahlawan Melayu dahulu. Mereka berjuang mempertahankan negara menggunakan keris biarpun terpaksa berdepan dengan penjajah yang menggunakan senjata yang lebih hebat seperti senapang dan meriam.
 
Tugu keris yang dibina itu boleh dianalogikan sebagai semangat petani dan pesawah untuk berjuang membina kehidupan dengan hasil pertanian. Biarpun ada bidang lain yang boleh diceburi, namun mereka terus berjuang menggunakan tulang empat kerat untuk berbakti kepada tanah yang bukan sahaja memberi mereka pendapatan, tetapi juga sebagai sumber makanan utama penduduk Malaysia.  

No comments:

Post a Comment