Fitnah ialah tuduhan melalui cerita, khabar
atau kisah yang diada-adakan atau agak-agak untuk mendatangkan keburukan
terhadap seseorang, keluarga atau kumpulan. Perkataan fitnah berasal dari
perkataan Arab bermaksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan.
Fitnah yang disebarkan melalui kemudahan
teknologi moden lebih cepat, mudah dan berkesan. Penyebarnya tidak perlu menemui
orang yang ingin disebarkan fitnah itu dan identitinya dapat disembunyikan.
Fitnah adalah sifat mazmumah (keji) yang
lahir akibat tidak patuh perintah Allah. Perbuatan itu mendatangkan keburukan
kepada pelakunya dan orang lain. Ironisnya, pelakunya merasakan perbuatan itu
sekadar menyusahkan orang lain, dan dia mendapat untungnya.
Individu yang lemah iman dan jahil mengenai
hukum agama mudah terjebak dengan amalan fitnah. Mereka melakukan perbuatan itu
tanpa merasakan diri telah melakukan dosa besar. Memandangkan tidak memikirkan
tentang dosa, ada individu sekadar suka-suka atau mencari kepuasan menyebarkan
fitnah.
Keburukan kesan fitnah amat besar. Fitnah
boleh mencetus perpecahan dalam masyarakat, pergaduhan, pembunuhan dan boleh
merebak hingga runtuhnya sebuah kerajaan. Dalam masyarakat yang berbilang
bangsa dan anutan agama, fitnah boleh menyebabkan keadaan ketegangan
kaum.
Allah menjelaskan bahaya fitnah melalui
firman-Nya bermaksud: “Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada
pembunuhannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 191).
Lanjutan itu, dosa fitnah amat berat. Dalam
surah al-Baqarah ayat 217, Allah SWT berfirman bermaksud: “Fitnah itu lebih
besar (dosanya) daripada membunuh.”
Sebab itu, jangan pandang mudah kesan
setiap berita yang disebarkan. Banyak orang tidak sedar melakukan fitnah
disebabkan amalan itu sebati dalam masyarakat. Sebahagian yang lain pula tidak
menyedari bahawa itu adalah berita bersifat fitnah.
No comments:
Post a Comment