Friday 27 October 2023

Elaun Sara Hidup pelajar dinaikkan

 
Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan bahawa Kadar Elaun Sara Hidup (ESH) bagi pelajar baharu dan sedia ada di bawah tajaan KPT akan dinaikkan bermula 2024.
 
Kenaikan kadar ESH itu akan memanfaatkan seramai 24,729 pelajar yang sedang ditaja untuk melanjutkan pelajaran di dalam atau luar negara di bawah Program Penajaan KPT dan akan melibatkan implikasi kewangan kira-kira RM30.78 juta.
 
Keputusan itu mencerminkan kerajaan sentiasa menitikberatkan soal kebajikan pelajar tajaan dan serius membantu menangani cabaran kenaikan kos sara hidup yang dihadapi.
 
Kenaikan itu itu melibatkan kadar ESH akan dinaikkan sebanyak 15 peratus bagi pelajar sarjana atau doktor falsafah (PhD) sedia ada dan baharu di luar negara serta di bawah Program MyBrainScience.
 
Turut dinaikkan ialah kenaikan kadar ESH sebanyak RM100 sebulan kepada pelajar sedia ada dan baharu yang menerima biasiswa dan dermasiswa dalam negara.
 
Kenaikan itu melibatkan penerima Biasiswa Atlet Cemerlang institut pengajian tinggi (IPT), Biasiswa Pelajar Cemerlang Politeknik, Biasiswa Tokoh Siswa, Dermasiswa B40 TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan Program MyBrain 2.0.
 
KPT akan menyeragamkan ESH pelajar sedia ada dan baharu kepada hanya satu kadar mengikut peringkat pengajian iaitu Ijazah Sarjana Muda RM730, Ijazah Sarjana RM800 dan PhD RM1,000.
 
Walau bagaimanapun, penyeragaman itu tidak melibatkan program MyBrainScience kerana kadar ESH sedia ada program berkenaan adalah lebih baik daripada program lain sedia ada.
 
Kenaikan RM100 sebulan Elaun Wang Saku (EWS) juga diperluaskan kepada pelajar-pelajar B40 (Bantuan Kewangan Asasi IPTA dan Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti) dan OKU (Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya dan Program Pendidikan Khas).
 
Kadar EWH semasa bagi Bantuan Kewangan Asasi ialah RM208.33 sebulan; Bantuan Kewangan OKU (RM300 sebulan); Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti (RM300 sebulan) dan Program Pendidikan Khas ialah RM610 sebulan.
 
Bagi pelajar sedia ada dan baharu di United Kingdom, kadar ESH diseragamkan dan tidak lagi mengikut kawasan memandangkan perbezaan indeks kos sara hidup di antara kawasan yang berlainan.
Begitu juga kadar ESH pelajar sedia ada dan baharu di Amerika Syarikat diseragamkan daripada tiga kadar kepada dua kadar sahaja.
 
Kadar ESH yang dinikmati oleh pelajar dalam kalangan pegawai awam dalam perkhidmatan sama ada sedia ada dan baharu dalam dan luar negara dikekalkan. Ini kerana, kenaikan kos sara hidup dilihat mampu diserap oleh pegawai yang mengikuti pengajian dalam dan luar negara kerana mereka turut menerima gaji bulanan penuh secara tetap selain ESH.

No comments:

Post a Comment