Monday 23 October 2023

BURUK SANGKA SIKAP TERCELA

 
Firman Allah SWT bermaksud: Wahai orang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? (Surah al-Hujurat, ayat 12)
 
Tegas di sini, Islam sama sekali tidak membenarkan orang mukmin buruk sangka kerana itu merupakan sifat tercela yang boleh meruntuhkan persaudaraan yang telah terbina. 
 
Orang buruk sangka sama dosanya seperti memakan daging saudara yang sudah mati. Perkara buruk ini menjadi sebahagian sifat umat Islam hari ini yang sentiasa iri hati dan buruk sangka terhadap saudara Islam dengan menuduh orang melakukan perbuatan mungkar tanpa mempunyai bukti kukuh.

Saidina Umar al-Khattab menegaskan, "Janganlah kamu menyangka dengan satu kata pun yang keluar dari seseorang saudaramu yang mukmin kecuali dengan kebaikan yang engkau dapatkan bahawa kata-kata itu mengandung kebaikan".
 
Kalau diamalkan buruk sangka, akibatnya pun sangat buruk yang diterima sama ada di dunia mahu pun di akhirat.
 
Buruk sangka merupakan cabang dusta. Rasulullah SAW bersabda: "Jauhilah prasangka, sebab prasangka itu pembicaraan yang paling dusta." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
 
Buruk sangka juga boleh menyebabkan terciptanya dosa-dosa lain seperti bohong, benci, dengki dan marah. 

Rasulullah SAW memberikan peringatan dengan tegas bermaksud: "Hendaklah kamu selalu benar. Sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebajikan dan kebajikan membawa ke syurga. Selama seseorang benar dan selalu memilih kebenaran, dia tercatat di sisi Allah seorang yang benar (jujur). Hati-hatilah terhadap dusta, sesungguhnya dusta membawa kepda kejahatan dan kejahatan membawa kepada neraka. Selama seseorang dusta dan selalu memilih dusta, dia tercatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta." (Hadis riwayat Bukhari).
 
Oleh sebab itu, setiap mukmin hendaklah memilih sifat suka baik sangka kepada semua orang. Sifat ini sangat menguntungkan semua pihak dan perbuatan tersebut merupakan sifat mahmudah (terpuji) yang sangat dituntut oleh agama.
 
Melalui amalan baik sangka, persaudaraan dan perpaduan akan sentiasa wujud menonjolkan identiti umat Islam yang indah dan menarik. 
 
Jika gemar buruk sangka, maka segeralah bertaubat kepada Allah dengan penuh kesedaran. Buruk sangka hanya membawa perpecahan dan keburukan. Ingatlah bahawa kebahagiaan dan ketenteraman akan terhasil dengan adanya perpaduan.
 
Hidup dalam buruk sangka membawa kepada suasana celaru dan sengsara. Semua pihak hidup dalam keadaan tertekan dan rasa tidak selamat.

No comments:

Post a Comment