Sunday 17 March 2024

PUASA DAPAT CEGAH KANSER

 
Puasa adalah amalan disiplin memerlukan pengamal untuk menahan diri makan dan minum untuk sesuatu tempoh yang ditetapkan.
 
Rutin ini membolehkan sistem pencernaan badan berehat dan memulih. Biarpun itu lebih difahami sebagai ibadat, puasa mendapat perhatian meluas daripada peminat kesihatan dan pakar pemakanan.
 
Puasa berselang atau dikenali sebagai 'intermittent fasting', secara khususnya, antara strategi atau rutin kegemaran yang menjadi pilihan dalam kalangan mereka yang ingin mendapatkan berat badan ideal dan badan yang sihat. 
 
Banyak kajian menunjukkan kesan positif puasa terhadap pelbagai aspek kesihatan. Dengan mengehadkan pengambilan kalori dan meningkatkan metabolisme, berpuasa menggalakkan penurunan berat badan, mengurangkan paras gula dalam darah dan meningkatkan kepekaan insulin.
 
Ia terbukti mengurangi keradangan dalam badan, menurunkan tekanan darah dan memperbaiki profil lipid, dengan itu membantu mengurangkan risiko mendapat penyakit.
kanser.
 
Faktor pemakanan terbukti berperanan penting dalam risiko mendapat kanser, menjadikan puasa sebagai langkah pilihan terapeutik yang berpotensi berkesan. 
 
Uji kaji pada haiwan oleh sekumpulan saintis di China membuktikan puasa dapat menghalang pertumbuhan sel kanser pada tikus dengan mengurangkan glukosa yang menjadi sumber tenaga sel kanser itu.
 
Puasa meningkatkan 'autophagy' iaitu proses ini penting dalam membantu membuang komponen sel yang rosak atau tidak berfungsi, dengan itu menguatkan lagi pertahanan badan terhadap pertumbuhan sel-sel kanser.
 
Puasa juga didapati menurunkan tahap ekspresi gene yang berkait rapat dengan peningkatan risiko kanser dan kerintangan terhadap rawatan ubat. Dengan ini, berpuasa boleh membantu mengurangkan pertumbuhan dan percambahan sel kanser.
 
Walaupun begitu, puasa masih tidak digunakan secara meluas sebagai kaedah untuk merawat kanser kerana banyak lagi kajian yang perlu dilakukan untuk membuktikan keberkesanannya secara klinikal. 
 
Perlu diingatkan, bagi penganut Islam, puasa Ramadan adalah satu perintah yang perlu dilaksanakan atas dasar takwa dan keimanan. Mendapat kebaikan berkaitan kesihatan adalah bonus.

No comments:

Post a Comment