Tidak ada orang mahu hidup miskin. Namun,
keadaan hidup miskin menjadi keadaan biasa dalam masyarakat. Kaya dan miskin
saling melengkapkan antara satu sama lain. Maka, jangan dihina golongan miskin
kerana dengan adanya golongan itu membantu golongan kaya menikmati kehidupan
lebih baik.
Golongan kaya dan berilmu mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat adalah kerana adanya golongan miskin. Bagaimana jika semua orang hidup dalam taraf kekayaan yang sama? Siapa yang akan melakukan tugasan kepada golongan lain sedangkan mereka tidak lagi memerlukan wang atau upah?
Maka, golongan kaya jangan angkuh. Kehidupan mereka senang dan ada yang sanggup melakukan kerja untuk mereka kerana adanya golongan miskin atau yang kurang kekayaan berbandingnya.
Amat malang, sikap keangkuhan dan suka menghina orang bukan saja di kalangan orang yang tidak tahu agama (pahala dan dosa), tapi orang yang faham agama, yang bicara tentang Islam akidah dan solat, tapi kadang-kadang boleh menghina orang miskin.
Ingatlah, kata-kata adalah cerminan peribadi. Jangan sesekali merendahkan pekerjaan orang lain yang mencari rezeki halal. Sebagai masyarakat, kita perlu sentiasa memberi sokongan dan menghormati orang lain tanpa mengira statusnya.
Kepada golongan miskin, berusahalah untuk mengubah kedudukan kepada keadaan yang lebih baik. Bekerja mencari rezeki atau kekayaan bukan sekadar memenuhi keperluan hidup di dunia, bahkan membolehkan persiapan mengecapi kebahagiaan hidup di akhirat. Sebab itu Islam menekankan kepada kekuatan ekonomi umat Islam agar dapat menjalani kehidupan dengan sempurna dan dapat beribadat kepada Allah dengan sebaik-baiknya.
Malah kekayaan merupakan satu cara dakwah. Umat lain mudah menerima Islam jika melihat keadaan umat Islam yang sempurna kehidupan dengan kekayaan dan budi pekerti yang mulia. Segala keperluan masyarakat dapat disediakan dengan sempurna dan usaha-usaha kebaikan dapat dijalankan sepenuhnya.
Bekerja perlu dilakukan tanpa mengira usia selagi berdaya melakukannya. Bekerja bukan terhad makan gaji atau melakukan sesuatu yang mendapat upah. Sebaliknya bekerja itu termasuklah melakukan sebarang tugas yang mendatangkan kebaikan, termasuklah kerja-kerja sukarela.
Sesungguhnya suruhan mencari rezeki dan kebahagiaan hidup di dunia banyak dinyatakan dalam al-Quran dan Hadis. Ajaran yang menghalang orang Islam mengejar kemewahan dan kesenangan hidup sengaja dicipta oleh pihak yang tidak mahu Islam berkembang dan maju.
Antara ayat al-Quran yang menyebut mengenai suruhan mencari rezeki ialah ayat 77 surah al-Qasas bermaksud: “Dan tuntutlah dengan kurniaan yang telah dilimpahkan Allah kepadamu itu kebahagian hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalan) dari dunia.”
No comments:
Post a Comment