Monday 2 November 2020

Siapa TPM dari UMNO?

Siapa Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari UMNO? Perkara ini belum ada keputusan diumumkan kepada umum. Tidak pasti sama ada calonnya sudah ada, tetapi belum tiba masanya untuk diumumkan. Atau ia masih dalam perbincangan di peringkat UMNO dan mungkin juga menunggu keputusan Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin siapa yang dipilih.

Sukar untuk merungkai persoalan ini selagi ia tidak dinoktahkan melalui pengumuman rasmi dan seterusnya majlis angkat sumpah jawatan individu yang dipilih itu.

Memang semua sedia maklum, tumpuan sekarang ialah kepada Bajet 2021 yang bakal dibentangkan pada 6 November ini di Dewan Rakyat yang memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 111 Ahli Parlimen (dengan andaian kehadiran kesemua Ahli Perlimen 221 – 1 kerusi kosong iaitu Batu Sapi), tetapi isu pelantikan TPM tidak wajar disepikan.

Tidak salah perkara ini dilakukan serentak, bahkan lebih baik jika ia dapat dimuktamatkan sebelum pembentangan Bajet. Ketika pembentangan Bajet nanti, Muhyiddin sudah ada TPM untuk bersama-sama mendepani apa sahaja cabaran yang bakal timbul, khususnya di kalangan pembangkang.  

Tentang siapa bakal dilantik menjadi TPM memang masih menjadi tanda tanya. Jika kedudukan dalam parti diambil kira, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah paling layak sebagai kedudukannya sebagai Presiden. Tambahan, beliau pernah menduduki kerusi TPM pada era pemerintahan BN dahulu.

Namun, Zahid seperti dilapor Malaysiakini pada 9 Mac lalu menolak sebarang pencalonan bagi memegang jawatan dalam kabinet.

Menurut laporan itu, Zahid mahu penyokong parti berlapang dada menerima keputusan perdana menteri berhubung pelantikan mana-mana anggota parlimen sebagai anggota jemaah menteri.

Zahid berkata beliau menolak untuk memegang jawatan dalam kabinet Perikatan Nasional (PN) kerana mahu memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Selain itu, Zahid juga berkata beliau akan menumpukan untuk "membersihkan diri" di mahkamah berhubung kes-kes yang dikaitkan dengannya.

"Saya menolak jawatan kabinet agar dapat fokus mempersiapkan parti menghadapi PRU ke-15.

"Saya akan membersihkan diri saya di mahkamah dan pertuduhan-pertuduhan terhadap saya tidak digugurkan sebagaimana yang pernah dilakukan oleh peguam negara terdahulu terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan sebelum ini," katanya.

Sebenarnya banyak pemerhati politik setuju jika Zahid menolak jawatan TPM seperti yang dinyatakan beliau sebelum ini.

Bahkan banyak pemerhati politik membuat beberapa alasan lain mengapa Zahid tidak wajar menerima tawaran sebagai TPM.

Zahid perlu mempertahankan maruah sebagai Presiden UMNO, parti terbesar dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), tidak wajar berada di bawah arahan Muhyiddin, Presiden Bersatu yang kedudukannya lebih kecil.

Tambahan, selama ini Zahid berulang kali menegaskan bahawa sokongan UMNO terhadap PN hanya dalam konteks sokongan Ahli Parlimen UMNO untuk membentuk kerajaan bagi menghentikan konflik politik negara akibat perletakan jawatan Tun Mahathir sebagai PM.

Tambahan, Presiden UMNO telah meneruskan legasi bermaruah dan mementingkan integriti apabila tidak berada dalam kerajaan dan kabinet apabila berdepan kes mahkamah.

Perkara ini diakui dan dipegang Zahid sendiri yang ingin membersihkan dirinya dari segala tuduhan di mahkamah berhubung kes-kes yang dikaitkan dengannya.

Tindakan serupa sebenarnya telah diamalkan pemimpin UMNO sebelum ini. Ambil contoh tindakan Tan Sri Rahim Tamby Chik meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka apabila beliau dituduh di mahkamah melakukan kesalahan berkaitan seksual dengan budak bawah umur. 

Keputusan meletakkan jawatan juga dilakukan oleh pemimpin kanan UMNO lain apabila mereka dihadapkan ke mahkamah.

Justeru itu, di kalangan pemerhati politik berpendapat maruah dan imej Zahid sebagai individu mahupun sebagai Presiden UMNO lebih dipandang tinggi dan akan memberi impak besar kepada kelangsungan politik beliau selepas didapati tidak bersalah oleh mahkamah (begitulah hendaknya) dan imej UMNO terus berada pada kedudukan diyakini ahli dan rakyat.

Adanya kewajaran Zahid menolak jawatan TPM, tidak pula bermakna UMNO perlu menolak jawatan tersebut untuk diberikan kepada mana-mana pemimpin UMNO yang lain.

UMNO perlu menerima tawaran, bahkan perlu menuntut jawatan TPM kerana dengan ada wakil UMNO sebagai TPM akan memberi peluang untuk UMNO kembali diperkasakan di dalam kabinet dan sekaligus memberi lebih ruang untuk membantu menyelesaikan kemelut kepimpinan yang berlaku sekarang.

Kedudukan wakil UMNO sebagai TPM tentunya dapat meredakan amarah ahli UMNO yang beranggapan UMNO dinafikan hak dan peranan dalam kerajaan PN walaupun mempunyai Ahli Parlimen paling ramai di kalangan parti yang bergabung dalam kerajaan PN.

Umum mengetahui kedudukan wakil Bersatu lebih monopoli dalam kerajaan PN. Selain jawatan PM, Bersatu turut dilihat berkuasa apabila dua dari empat menteri kanan adalah wakil Bersatu iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Mohd Radzi Md Jidin,

Isu siapa bakal dilantik TPM satu ‘konflik’ besar di antara Muhyiddin dan kepimpinan UMNO sendiri, namun ia boleh dimurnikan dengan semua pihak berlapang dada. Berbincang dan ambil keputusan bijak yang memberi situasi “menang-menang” bagi semua pihak.

Utamakan kepentingan negara dan rakyat, berbanding kepentingan diri sendiri.

No comments:

Post a Comment