Sunday 24 January 2021

REZEKI KITA JUGA MILIK ORANG LAIN

Kita biasa mendengar orang berkata, dalam rezeki kita ada rezeki orang. Maksudnya kita perlu berkongsi harta yang diperoleh dengan orang lain. Ada kategori harta yang kita kongsikan dengan orang lain.

Pertamanya, harta yang kita wajib kongsikan dengan orang lain. Dengan kata lain, ia sebenarnya milik orang lain, tetapi berada di dalam milikan kita. Harta yang dimaksudkan ialah harta zakat.

Harta yang cukup syarat dikeluarkan zakat wajib diserahkan kepada mereka yang layak menerimanya iaitu golongan asnaf. Jumlah harta yang wajib dikeluarkan zakat itu secara hukumnya tidak lagi menjadi milik kita. Ia mesti diserahkan kepada mereka yang sepatut menerimanya.

Kategori kedua harta milik kita yang ianggap dikongsi dengan orang lain ialah harta yang sepatutnya diserahkan kepada golongan yang selayaknya menerima harta itu sebagai sedekah.

Sedekah ialah pemberian kepada golongan fakir miskin atau mereka yang memerlukan bantuan. Jumlah yang diberikan kepada mereka ini tidak ditentukan jumlahnya asalkan dengan ikhlas diberikan.

Sedekah adalah sunat dan tidak menjadi sesuatu kesalahan jika tidak bersedekah. Melainkan dalam mana jika kita tidak memberi sedekah kepada penerima berkenaan akan menyebabkan sesuatu mudarat berlaku. Maka ketika itu adalah wajib kita membantu untuk mengelak mudarat itu.

Kategori ketiga harta kita yang turut dimiliki oleh orang lain ialah dengan cara memberi cenderahati atau membelanjakan sesuatu kepada orang lain. Contohnya kita belanja makan rakan yang bukan di kalangan golongan miskin. Kita boleh belanja makan rakan yang lebih kaya atau lebih berada berbanding kita.

Dengan ringkas, rezeki orang dengan kita adalah dalam bentuk zakat, sedekah dan sumbangan.

Jadi, jangan kita fikirkan apa yang kita dapat itu diaggap hak kita yang mutlak. Kadang-kadang Allah turunkan rezeki kepada orang lain melalui kita. Inilah yang disebut dalam rezeki kita ada rezeki orang. Jadi, jangan kedekut untuk berkongsi rezeki kita dengan orang lain.

Zakat telah ditetapkan jumlahnya. Sedekah dan sumbangan pula bergantung kepada keikhlasan kita untuk diberikan kepada orang lain.

Galakan bersedekah ini Allah tunjukkan sebagai contoh dengan bandingan jika kita memangkas pokok, ia akan bertunas lebih banyak cabangnya. Jika biji benih ditabur, ia akan tumbuh dan menghasilkan lebih banyak buah dari benih tadi.

Begitu juga jika rezeki kita dikongsi dalam orang lain, janji Allah ia akan tambahkan lagi rezeki, kerana Allah menjadikan kita sebagai saluran orang lain mendapat rezeki.

Jadi amat bertuah orang yang bersedekah kerana ia mendapat ganjaran pahala dan bila Allah menambah rezekinya, menjadikan dia saluran untuk orang lain dapat rezeki.

No comments:

Post a Comment