Sunday 31 January 2021

CARA LATIH ANAK TIDAK BERSIKAP BOROS

Banyak kebaikan amalan menabung. Budaya menabung membolehkan jumlah yang banyak dikumpul secara sedikit-sedikit. 

Pepatah ‘sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit’ adalah di antara nasihat yang mendidik agar masyarakat menabung hasil pendapatan atau wang yang diperoleh. Jumlah yang sedikit akan menjadi banyak jika amalan menyimpan diteruskan dalam tempoh yang lama.   

Sikap menabung perlu dimulakan sejak awal lagi. Kanak-kanak dan pelajar yang menerima wang daripada ibu bapa patut digalakkan menabung sebahagian wang yang diterima itu.  

Amalan menabung perlu dilakukan biarpun sekadar memasukkan wang dalam tabung sekadar beberapa puluh sen sehari. Perbuatan itu tentu tidak sukar untuk dilakukan yang merupakan jumlah baki perbelanjaan harian.    

Amalan baik yang dimulakan semenjak kecil mudah dibentuk dan menjadi sebati di dalam diri setiap individu. 

Kebiasaan dilakukan sejak kecil menjadi lambang peribadi yang baik dan mampu berterusan sehingga dewasa. Kata pepatah, ‘meletur buluh biar dari rebungnya’.

Rata-rata pelajar sekarang menerima wang saku dalam jumlah agak besar daripada ibu bapa masing-masing. Sebahagian ibu bapa mampu menyediakan wang lebih memandangkan kedudukan ekonomi keluarga yang baik.  

Jumlah wang yang diterima melebihi jumlah wang yang benar-benar diperlukan, yakni berdasarkan kadar perbelanjaan sederhana. 

Tidak dinafikan sebanyak mana sekalipun wang dimiliki masih tidak mencukupi jika berbelanja secara boros dan mengikut kehendak hati yang tidak pernah puas dan tiada batasan.

Satu amalan amat keji dan buruk bagi sesiapa berbelanja mengikut hawa nafsu. Syaitan tidak pernah berhenti daripada menggalakkan manusia melakukan perkara yang boleh mendatangkan keburukan. Sesiapa berbelanja boros merupakan mengikut telunjuk syaitan.

Justeru, peluang mendapat wang saku melebihi daripada apa yang diperlukan sepatutnya tidak menjadikan pelajar berbelanja lebih. Wang diperoleh itu wajar ditabung sebagai simpanan.  Menabung bukan hanya untuk orang miskin, tetapi orang kaya juga perlu menabung.

Biarpun ibu bapa memiliki banyak harta yang boleh digunakan bila-bila masa tanpa had, bukan alasan untuk berbelanja lebih. Berbelanja boros satu kelemahan diri yang perlu diubati agar tidak terus menguasai diri.  

Didapati ramai pelajar yang berbelanja seperti orang dewasa yang sudah bekerja. Mereka memakai pakaian berjenama mahal, memiliki kenderaan mewah, berbelanja di pusat perniagaan terkenal dan bebas ke sana ke mari dengan menggunakan wang disediakan oleh ibu bapa. 

Pelajar yang terlalu dimanjakan oleh ibu bapa selalu mudah lupa diri. Banyak pelajar terjebak dalam kancah kehidupan tidak sihat kerana kemewahan yang dinikmati tanpa batas. 

Banyak pelajar mengunjungi tempat berpeleseran, gejala dadah, seks bebas dan hidup bebas berpunca memiliki wang yang banyak disediakan oleh ibu bapa.   

Kebanyakan pelajar daripada keluarga kaya raya berbelanja sesuka hati. Malah ada yang berbelanja mewah untuk menunjukkan kedudukan keluarga masing-masing. Sikap ego dan mementingkan diri menguasai diri.  

Ketika ada pelajar berbelanja boros, terdapat rakan mereka yang hidup melarat. Satu amalan amat mulia dan berperikemanusiaan jika membantu rakan dalam kesusahan. 

Kita berusaha untuk membentuk masyarakat penyayang dan bersatu padu. Tolong menolong menjadi lambang kehidupan masyarakat bertamadun.

Pelajar patut sedar setiap sen yang diterima daripada ibu bapa adalah satu amanah agar digunakan untuk kebaikan. Berbelanja dengan cermat dan berhemah satu amalan orang bijak pandai.  

Beringat semasa senang dapat mengelak bencana dan kesusahan yang tidak dapat diduga pada masa hadapan. Langit tidak selalunya cerah. Seperti roda, ada kalanya di atas dan pada masa lain pula berada di bawah.  

Amalan menabung di kalangan pelajar mampu membentuk masyarakat yang berdisiplin dan bermaruah. Setiap individu perlu bijak menilai keperluan hidup tanpa melepasi batas-batas keperluan sehingga membazir dan merugikan.  

Pelajar yang suka mengamalkan sikap membazir akan menjadi amalan sehingga dewasa. Sebenarnya tidak semua bernasib baik terus mendapat kekayaan daripada ibu bapa. Sebaliknya mereka perlu lebih berdikari dan mencari sendiri wang yang diperlukan.  

No comments:

Post a Comment