Saturday 26 June 2021

Hargai kesetiaan ahli akar umbi

Jumlah keahlian UMNO masih paling banyak berbanding mana-mana parti yang ada di Malaysia.

Biarpun UMNO hilang kuasa pada PRU14, kesetiaan ahli akar umbi masih utuh. Hanya sebilangan kecil pemimpin yang bacul untuk kepentingan diri sendiri meninggalkan UMNO.

UMNO terus menebarkan sayap untuk terbang membelah cabaran semasa.

Tetapi UMNO juga berhadapan dengan masalahnya tersendiri. Pelbagai kabilah dalam UMNO dengan cita-cita masing-masing.

Cita-cita untuk diri sendiri dan bukan untuk negara, parti, orang Melayu dan Islam. Masalah inilah yang akan menewaskan UMNO jika tidak diatasi.

Para pemimpin dalam UMNO mesti mengendurkan aspirasi peribadi dan mengutamakan hanya aspirasi parti dan negara.

Kekadang terlalu banyak pertindihan pendirian sehingga ahli dan rakyat jadi bingung pendirian mana yang UMNO ini sebenarnya perjuangkan.

Institusi Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diserang dan serta dilemahkan oleh kalangan pemimpin UMNO sendiri.

Bersikap jujurlah kepada parti dan seluruh ahli. Presiden dan ahli MKT dipilih oleh ahli akar umbi. Ahli akar umbi telah memberi kepercayaan kepada mereka untuk mengemudi UMNO sehingga tempoh yang ditetapkan.

Individu yang tidak berada dalam saf kepimpinan utama UMNO adalah mereka yang telah ditolak oleh ahli akar umbi semasa proses pemilihan. Atau mereka tidak menawarkan diri untuk dipilih.

Jadi, mereka ini perlu tahu menilai diri. Tidak perlu hendak tunjuk jaguh.

Kalau hendak jadi pemimpin tertinggi, tawarkan diri sebagai calon apabila proses pemilihan diadakan nanti.

Buat masa sekarang, biarlah pemimpin yang dipilih sebelum ini melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.

Teruslah bersatu berganding bahu memperkuatkan parti demi agama, bangsa dan negara. Hargai kesetiaan ahli akar umbi. Tidak menjadi hebat seorang pemimpin tanpa kesetiaan ahli akar umbi.

No comments:

Post a Comment