Monday 10 October 2022

Pembubaran Dewan Rakyat untuk kestabilan politik negara

 
Pembubaran Dewan Rakyat dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Dewan Rakyat dibubarkan berkuat kuasa hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri membuat pengumuman itu menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara, menerusi siaran televisyen dan media dalam talian pada jam 3 petang ini.

Pengumuman itu sekali gus menjawab segala teka-teki serta spekulasi yang berlegar sejak beberapa minggu lalu mengenai pembubaran Parlimen, selepas Ismail Sabri menghadap Seri Paduka di Istana Negara pada semalam.

Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh selepas PRU-15.

Proses itu berlandaskan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai pasak pemerintahan sejak negara mencapai kemerdekaan.

Semoga rakyat menggunakan kuasa yang ada pada mereka, untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023.

Rakyat harus menggunakan kuasa mereka mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi. Ia juga penting bagi mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik.

Sejak PRU14, negara berhadapan isu pergolakan politik sehingga berlaku pertukaran penyandang jawatan Perdana Menteri sebanyak tiga kali dengan bilangan Ahli Parlimen yang melompat parti mencecah lebih 40 individu.

No comments:

Post a Comment