Monday 10 October 2022

Dewan Rakyat bubar 10 Okt

 
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri membuat pengumuman itu menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara, menerusi siaran televisyen dan media dalam talian pada jam 3 petang ini.

Pengumuman itu sekali gus menjawab segala teka-teki serta spekulasi yang berlegar sejak beberapa minggu lalu mengenai pembubaran Parlimen, selepas Ismail Sabri menghadap Seri Paduka di Istana Negara pada semalam.

Susulan itu, Perdana Menteri menasihati semua Ketua Menteri dan Menteri Besar kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya menghadap Sultan, Raja atau Yang di-Pertua Negeri masing-masing bagi mendapat perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh yang sama dengan PRU, meskipun beberapa buah negeri memutuskan untuk tidak membubarkan DUN mereka.

Langkah itu bagi memberi laluan supaya pilihan raya negeri (PRN) dan PRU dapat diadakan serentak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah berkecuali daripada mengadakan PRU kerana sudah mengadakan PRN.

Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu tiga negeri yang ditadbir PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan DUN jika PRU15 diadakan tahun ini.
Katanya, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden.
PRU-15 adalah yang pertama di bawah kepemimpinan Ismail Sabri selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ogos tahun lalu.
Sejak PRU14, negara berhadapan isu pergolakan politik sehingga berlaku pertukaran penyandang jawatan Perdana Menteri sebanyak tiga kali dengan bilangan Ahli Parlimen yang melompat parti mencecah lebih 40 individu.

No comments:

Post a Comment