Wednesday, 4 May 2022

SAMBUT AIDILFITRI DALAM SEDERHANA

 
Sesuai dengan kedudukan Aidilfitri sebagai hari kebesaran dan kegembiraan, Islam menggalakkan agar seluruh umat Islam membuat persiapan sewajarnya untuk menyambut kedatangannya. Rasulullah menggalakkan agar dibuat persiapan dengan menyediakan pakaian baru, menghidangan makanan lazat dan melakukan sesuatu menghiburkan hati.

Dalam melakukan persiapan untuk menyambut Aidilfitri, konsep yang ditekankan ialah sederhana, tidak membazir dan tidak membebankan   

Firman Allah bermaksud: “Dan mereka (yang diredai Allah) apabila membelanjakan hartanya, tidak boros dan tidak kedekut, sebaliknya perbelanjaan mereka adalah sederhana.” – (Surah al-Furqan, ayat 67).  

Bagi sesiapa mampu melakukan persiapan untuk sambutan Aidilfitri seperti menukar langsir, perabot, mengecat rumah, menghias laman, menyediakan pelbagai jenis juadah dan berpakaian baru patut melakukannya, tetapi tidak boros. 

Dalam melakukan persiapan untuk menyambut Aidilfitri, konsep yang ditekankan ialah sederhana, tidak membazir dan tidak membebankan. Sebelum bebelanja, fikirkan apakah ia benar-benar perlu. Jangan sekali-kali membeli atau membuat sesuatu yang tidak penting.

Biarpun Aidilfitri disambut setahun sekali, tidak pula bermakna mesti berhabis-habisan membuat persiapan. Perbuatan terlalu mengikut nafsu akhirnya akan membawa padah. Nafsu tidak pernah puas dengan apa yang dilakukan dan dimiliki. 

Perkara ini ditambah lagi jika didorong pula sikap sombong, ingin menunjuk-nunjuk, riak dan dengki. Semua sikap itu adalah sifat yang amat dibenci dalam Islam. Sesiapa yang melakukan sesuatu disebabkan sifat-sifat tersebut, maka dia mendapat celaan daripada Allah.

Syaitan amat suka kepada sikap boros. Sifat itu dibisikkan dan disuburkan di dalam diri manusia agar memudahkan bagi syaitan menggalakkan melakukan perbuatan buruk lain.

Sesiapa melakukan sikap bosos, maka dirinya menjadi saudara kepada syaitan.  Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhan.” - (Surah al-Isra, ayat 27).

Jika tidak mempunyai wang yang cukup, buatlah persiapan mengikut apa yang mampu. Sikap sanggup berhutang atau bergadai semata-mata untuk menyambut Aidilfitri tidak digalakkan. 

Dalam sistem kewangan sekarang wujud pelbagai cara membolehkan orang tidak mempunyai wang, berbelanja dan membeli apa yang diingini. Penggunaan kad kredit, membeli secara ansuran, sewa beli, pinjaman pengguna dan pinjaman peribadi menjadi pilihan ramai, terutama ketika musim perayaan.

Membeli atau berbelanja melalui kaedah tersebut dipanggil hutang.  Amalan hutang hanya menguntungkan ketika ia diambil, sedangkan banyak keburukannya apabila ingin menjelaskannya.

Jangan sekali-kali mudah terpangaruh dengan kemampuan orang lain membuat persiapan Aidilfitri. Setiap orang mempunyai kemampuan berbeza dari segi kewangan atau kekayaan. 

No comments:

Post a Comment