Tuesday, 2 November 2021

KELADI BUNTING KELIHATAN CANTIK

 
Keladi bunting atau nama botaninya Eichornia crassipes merupakan tumbuhan akuatik yang berasal daripada Amerika Selatan. Ia juga dikenali sebagai orkid air atau Water Hyacinth.

Ia sejenis tumbuhan yang terapung dan dikatakan dapat membiak dengan cepat dalam tempoh 12 hari. Ia dibawa masuk ke Malaysia sejak lama dulu sebagai pokok hiasan dan kini ia membiak dengan banyak terutamanya di kawasan paya, tasik, lombong dan lain-lain kawasan berair tenang.

Keladi bunting hidup secara terapung seperti kiambang dan akar rerambut berfungsi sebagai penyerap nutrien daripada air.

Bahagian pangkal batang atau pelepah keladi yang ‘bunting’ bertindak sebagai pelampung. Keladi mempunyai bunga yang cantik berwarna ungu atau merah jambu seakan orkid dan keluar mengikut musimnya.

Fungsi terpenting keladi bunting ini adalah mengurangkan pencemaran air kerana ia menyerap karbon dioksida dan membebaskan oksigen semasa proses fotosintesis.

Kebiasaannya, pokok ini akan terapung-apung di atas air dengan menggunakan bahagian tangkai daun yang bunting dan mempunyai udara di dalamnya. Sekali pandang, batang daunnya tidak ubah seperti pelampung.

Bagi mereka yang suka kepada hiasan laman, pokok keladi bunting mempunyai keunikkan yang tersendiri. Ia sesuai diletakkan di dalam kolam kecil, tempayan atau pasu besar.

Apabila pokok ini membentuk hamparan, ia akan menghalang sinaran matahari menembusi ke dasar air sekali gus mengurangkan kadar pembebasan oksigen.

Secara tidak langsung, ia boleh mematikan tumbuhan asal di dasar air yang memerlukan punca oksigen. 

Bagi kawasan sungai, kehadiran keladi bunting yang banyak, boleh menghalang bot nelayan menangkap ikan di kawasan berkenaan.

Di sesetengah tempat, disebabkan ia tumbuhan dengan cepat mendatangkan masalah kepada penduduk yang masih menggunakan perahu sebagai pengangkutan.

Berikutan membiak dengan cepat, tumbuhan itu akan menutupi laluan sungai sekali gus menyukarkan penduduk untuk melaluinya.

Justeru, usaha untuk mengawal pembiakan keladi bunting giat diusahakan. Ini termasuk menjalankan kajian apakah langkah yang perlu diambil, apakah manfaat ekonomi yang boleh dikembangkan daripada tumbuhan itu.

Antara kajian itu ialah meneliti kesesuaian tumbuhan itu untuk dijadikan makanan haiwan atau diproses menjadi baja kompos.

Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) juga sudah menjalankan penyelidikan untuk mengurangkan kesan tumbuhan itu terhadap ekosistem marin di Sungai Oya, Sarawak.

Jika keladi bunting sesuai untuk diproses menjadi baja atau makanan haiwan, ia sekali gus membuka peluang ekonomi kepada penduduk, selain dapat mengatasi masalah yang dihadapi masyarakat berkaitan kewujudannya yang banyak di permukaan sungai.



No comments:

Post a Comment